Khairy Jamaluddin ketika sidang media di Putrajaya hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah
Khairy Jamaluddin ketika sidang media di Putrajaya hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang sedang mengalami gelombang Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, gelombang Omicron boleh dilihat melanda banyak negara hingga ada yang sudah mencapai kemuncak seperti United Kingdom (UK) dan Australia.

Menurutnya, ada negara-negara terutamanya di rantau Asia yang masih lagi melalui gelombang Omicron.

"Negara seperti Singapura, Korea Selatan, UK, Australia, Jepun dan Thailand mencatatkan kes Omicron masih lagi meningkat.

"Setakat 15 Februari lalu, Malaysia mencatatkan kes sebanyak 629.75 kes per sejuta penduduk dan perbandingannya sebagai contoh adalah Singapura lagi tinggi daripada kita iaitu 2,078.76 kes per sejuta penduduk, Korea Selatan (1,173.96 kes).

"Ini adalah perbandingan yang diberi untuk menyatakan bahawa Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang sedang mengalami gelombang Omicron," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media hibrid hari ini, mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Menurutnya, trend peningkatan kes Covid-19 baharu di negara ini melebihi 10,000 sehari pada Februari.

"Ia dicatatkan bermula 6 Februari lalu apabila sebanyak 10,089 kes, maksudnya kita sudah lebih daripada 10 hari berada di dalam gelombang Omicron yang agak ketara.

"Peningkatan diperhatikan setiap hari sehinggalah dilaporkan pada 16 Februari (semalam), jumlah 27,831 kes iaitu kes harian yang tertinggi sejak mulanya pandemik ini," katanya.

Menurutnya, walaupun peningkatan mendadak kes harian yang diperhatikan, purata kematian disebabkan Covid-19 tidak menunjukkan peningkatan ketara berbanding sewaktu kemuncak kes yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Khairy berkata, purata 13 kes kematian sehari dicatatkan pada minggu epidemiologi ke-5 tahun ini berbanding purata 345 kes kematian sehari pada kemuncak gelombang varian Delta (minggu epidemiologi ke-32 pada tahun lalu).

"Namun demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memberi jaminan kepada rakyat bahawa kami sudah membuat segala persiapan dan persediaan yang rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang datang bersama gelombang Omicron.

"Berita baiknya walaupun kita menyaksikan peningkatan dan bilangan kemasukan ke hospital, vaksin menunjukkan keberkesanan yang amat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan yang lebih teruk.

"Sebab itulah sehingga hari ini, kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan juga kes kematian akibat Covid-19," katanya.

Beliau berkata, bilangan kemasukan ke ICU dan kematian adalah 80 peratus hingga 90 peratus lebih rendah berbanding laporan pada Ogos tahun lalu walaupun bilangan kes ketika ini adalah lebih tinggi.

Menurutnya, walaupun kematian dan ICU masih lagi rendah dan tidak meningkat secara mendadak tetapi KKM akan terus pantau dari semasa ke semasa.

"Begitu juga dengan kes Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan harian. Ini satu perbandingan yang penting.

"Bermakna kita melihat bantuan pernafasan harian adalah rendah berbanding sewaktu kemuncak Covid-19 gelombang varian Delta.

"Sebanyak 116 kes harian dicatatkan pada 15 Februari yang memerlukan bantuan pernafasan berbanding 934 kes pada 6 Ogos tahun sewaktu kemuncak gelombang Delta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 9:04 PM