MALALA bersama suaminya. FOTO Twitter
MALALA bersama suaminya. FOTO Twitter
AFP

London: Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Malala Yousafzai yang pernah ditembak oleh pejuang Taliban Pakistan kerana berkempen untuk pendidikan kanak-kanak perempuan, bernikah dalam satu upacara ringkas di Birmingham, dekat sini.

Malala mengumumkan perkara itu menerusi media sosialnya.

"Hari ini adalah hari bersejarah dalam hidup saya. Asser (Malik) dan saya bersatu untuk menjadi pasangan seumur hidup," katanya menerusi Twitter.

Beliau turut memuat naik foto bersama suaminya pada hari pernikahan mereka.

"Kami meraikannya dengan majlis akad nikah secara kecil-kecilan di rumah kami di Birmingham, bersama ahli keluarga. Kami memohon doa anda semua. Kami teruja untuk menempuh kehidupan selepas ini," tambahnya.

Pada usia 15 tahun, Malala ditembak di kepala oleh pejuang Taliban dari Tehreek-e-Taliban Pakistan, sebahagian daripada Taliban Afghanistan, di rumahnya di Lembah Swat.

Ketika kejadian pada 2012 itu, dia berada di dalam bas sekolah.

Beliau pulih selepas menjalani rawatan selama beberapa bulan di Pakistan dan di luar negara, sebelum secara bersama menulis memoir bertajuk I am Malala (Saya adalah Malala).

Aktivis itu kemudian dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel ketika berusia 17 tahun, pada 2014, berkongsi pengiktirafan itu dengan aktivis hak kanak-kanak dari India, Kailash Satyarthi.

Beliau menamatkan pengajian di Universiti Oxford dalam ijazah dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi.

Kini, pada usia 24 tahun, Malala masih aktif dalam kempen untuk pendidikan kanak-kanak perempuan, dengan badan bukan kerajaan (NGO) diasaskannya, Malala Fund, melabur AS$2 juta (RM8.3 juta) di Afghanistan.

Dia juga menandatangani perjanjian dengan Apple TV+ untuk menerbitkan drama dan dokumentari yang memfokuskan kepada wanita dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:38 AM