ACARA penganugerahan Nobel Peace Prize kepada kedua-dua pemenang.
ACARA penganugerahan Nobel Peace Prize kepada kedua-dua pemenang.
GAMBAR mengenai kisah hidup Malala dipamerkan di ruang Pameran Nobel Peace Prize Center, Oslo, Norway.
GAMBAR mengenai kisah hidup Malala dipamerkan di ruang Pameran Nobel Peace Prize Center, Oslo, Norway.
BAJU yang dipakai ketika Malala ditembak ekstremis Taliban turut dipamerkan.
BAJU yang dipakai ketika Malala ditembak ekstremis Taliban turut dipamerkan.

Inspirasi, semangat dan jatuh bangun hidup gadis ini menarik perhatian SHUHADA MANSOR untuk dijadikan rujukan bersama.

Menyaksikan sendiri secara langsung sesi penerimaan anugerah Nobel Peace Prize (NPP) dan sesi temuramah bersama CNN di Oslo, Norway baru-baru ini. Terdetik di hati penulis, perjalanan hidup gadis bernama Malala Yousazfai bukannya mudah.

Berpeluang diterbangkan ke Norway oleh DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) adalah pengalaman paling berharga bagi penulis kerana diberi kesempatan melihat sendiri gadis muda yang cukup berani ini.

Malala dan Kailash Satyarthi dari India dijulang sebagai penerima NPP 2014 sekali gus melayakkan mereka berkongsi bernilai ganjaran wang tunai sebanyak AS$ 1.5 juta.

Hanya kerana lantang bersuara menegakkan hak dengan mempersoalkan sekatan pendidikan bagi golongan remaja perempuan di Pakistan, Malala yang baru berusia 14 tahun ketika itu ditembak pengganas Taliban. Ekstrimis Taliban yang juga bertindak sebagai kelompok berkuasa di kawasan itu menganggap gadis yang meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah adalah perbuatan sia-sia.

Berasal dari kawasan dinamakan Lembah Swat, Malala Yousafzai, penerima termuda yang juga rakyat Pakistan pertama menerima anugerah NPP. Anugerah ini sekali gus memahat namanya dalam sejarah sebaris dengan Martin Luther King, Nelson Mandela, Mahatma Gandhi, Dalai Lama, Aung San Suu Kyi yang terkenal dengan perjuangan mereka tersendiri dalam menegakkan hak dan keamanan sejagat.

Anugerah NPP diberikan kepada 121 penerima sejak mula diperkenalkan pada 1901.

Ditembak di kepala

Dalam ucapannya pada majlis penerimaan anugerah NPP 2014 itu, Malala berkata perjalanan hidupnya pada peringkat seperti kanak-kanak lain sehinggalah pengganas Taliban memutuskan siaran televisyen, muzik dan mula menghalang kanak-kanak perempuan ke sekolah, wanita membeli belah dan sebagainya.

Dia yang berusia 11 tahun pada waktu itu menulis blog tanpa nama bertajuk 'Diari Seorang Pelajar Perempuan Pakistan' kepada agensi media ternama Amerika Syarikat, BBC. Walaupun menerima ugutan bunuh, Malala terus bersuara menentang ekstrimis itu kepada media antarabangsa.

"Tragedi buruk itu berlaku cukup pantas. Pada 2012, saya bersama rakan lain di dalam bas dalam perjalanan ke sekolah . Secara tiba-tiba bas berhenti dan anggota Taliban meluru naik dan mula bertanya 'siapa Malala?'.

"Sepantas kilat saya ditembak dikepala tapi bukan hanya saya, dua kawan turut menjadi mangsa. Saya dirawat di hospital di Pakistan tapi disebabkan keadaan parah, saya diterbangkan ke hospital di Birmingham, England untuk rawatan lanjut. Diberi kesempatan untuk teruskan hidup hingga ke hari ini adalah perasaan paling bermakna. Suara saya akan terus lantang dan tak akan pernah berhenti."katanya.

Bersuara untuk 66 juta gadis lain seluruh dunia

Malala berkata, sama seperti orang lain, dia juga mahu membuatkan ibu bapa bangga walaupun dia seorang anak perempuan.

"Saya nak ubah mentaliti di Pakistan yang hanya menganggap anak lelaki saja boleh lakukannya manakala anak perempuan hanya menunggu masa untuk orang lain mencorakkan masa depan mereka.

"Terlintas dihati, adakah saya hanya perlu diam atau bangun bersuara dan dibunuh? Saya pilih untuk bersuara. Kenapa perlu saya berdiam sedangkan itu hak setiap orang? Itu antara sebabnya. Bukan itu saja, bahkan perkataan pertama kitab suci Al-Quran sendiri menyuruh kita untuk 'baca'.

"Saya kongsi kisah hidup saya ini bukan kerana ia unik, jelas sekali bukan. Saya cuma mahu dunia sedar, suara saya bukan hanya untuk saya saja tapi saya mewakili 66 juta gadis lain yang berjuang untuk mendapatkan hak pendidikan," katanya yang sedang melanjutkan pelajaran di Birmingham, England ketika ini.

Malala berkata, ada yang bertanya, kenapa perlu dia bertindak sebegitu? Apa kepentingannya? Balasnya, kenapa tidak?.

Hentikan buruh kanak-kanak & perkahwinan usia muda

Kukuh dengan hasratnya, Malala berkata dia akan terus berjuang untuk memberikan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak dan gadis.

Katanya, di negara berkonflik, ramai kanak-kanak menjadi yatim piatu disebabkan perbuatan orang lain.

Malah jelasnya, di Afrika dan Nigeria sebagai contoh, kanak-kanak tidak berpeluang mendapat pendidikan disebabkan kemiskinan.

"Lain pula di India dan Pakistan. Selain kemiskinan, kami dipaksa menjadi buruh ketika masih kecil bagi kanak-kanak lelaki dan dipaksa berkahwin bagi kanak-kanak perempuan.

"Ingin saya kongsikan cerita kawan kelas saya sendiri. Pada waktu itu kami baru berusia 12tahun. Kami berkongsi cita-cita dan dia bersungguh-sungguh ingin menjadi doktor, dan saya tahu dengan semangatnya itu, dia pastinya menjadi doktor hebat. Namun selepas beberapa bulan, dia hilang.

"Saya cuba mencari dengan menelefon rakan lain bertanya tetapi tiada siapa yang tahu. Selepas hampir dua tahun hilang, saya mendapat panggilan darinya. Terkejut apabila dia memberitahu dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Pada usia 14 tahun dia mempunyai seorang anak dan suami berusia 20 tahun yang masih belum bekerja. Bagaimana dengan cita-citanya?" soal Malala.

Malala berkata, wang diterima itu akan disalurkan ke Yayasan Malala yang ditubuhkan untuk membangunkan sekolah di kawasan kampungnya selain membantu rakan lain seluruh dunia.

Jika mudah hulurkan senjata, kenapa tak mampu hulurkan buku?

Tegas Malala, kini bukan masanya untuk sedar betapa pentingnya pendidikan tapi untuk bertindak bagi mewakili seluruh kanak-kanak di pelusuk dunia yang dahagakan pendidikan.

Jika 15 tahun lalu pemimpin dua melaungkan objektif wawasan millenium, tapi ia lebih kepada pendidikan awal. Malala berkata, dunia tidak boleh menerima apabila dikatakan pendidikan asas sudah cukup. Pemimpin dunia perlu gunakan peluang yang ada membantu kanak-kanak dan remaja memperoleh pendidikan peringkat seterusnya.

"Banyak negara berkuasa besar dengan pengaruh yang cukup luas. Persoalannya, kenapa perlu wujudkan perang tetapi tidak keamanan? Kenapa mudah hulurkan senjata tetapi tidak buku? Kenapa mudah wujudkan kubu tetapi tidak sekolah?.

"Dalam kepesatan abad 21 ini, kita perlu berikan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak. Jadikanlah hari ini hari terakhir kita lihat kanak-kanak bekerja di kilang, jadikanlah hari ini sebagai hari terakhir kanak-kanak dipaksa berkahwin, menjadi rekrut perang dan dihalau dari sekolah. Mulakan hari terakhir itu, di sini, hari ini!," katanya.

Ternyata, mendengar sendiri dan berkongsi semangat apabila melihat gadis ini berdiri teguh memperjuangkan impiannya adalah pengalaman paling berharga sepanjang kerjaya penulis. Semoga artikel ini memberi inspirasi kepada kita untuk terus berani menegakkan hak mempertahankan keamanan seluruhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:08 AM