Boris Johnson menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca. FOTO AFP
Boris Johnson menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca. FOTO AFP
AFP

Paris: Beberapa negara di Eropah termasuk Perancis kembali menggunakan suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca, mulai semalam.

Ia selepas penilaian semula vaksin itu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jerman dan Itali yang dalam fasa ketiga memerangi Covid-19 mengumumkan menggunakan kembali vaksin itu, pada Jumaat, selepas Agensi Ubat-ubatan Eropah mengesahkan ia selamat dan efektif.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan rakan sejawatnya di Perancis, Jean Castex mengambil suntikan dos pertama vaksin itu pada Jumaat.

Ia bagi memberi keyakinan kepada orang ramai.

"Saya betul-betul tak rasa apapun. Ia sangat bagus dan cepat.

"Setiap orang, apabila menerima pengesahan untuk mengambil suntikan, tolong pergi dan dapatkannya," kata Johnson

Selain itu, Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Itali, Mario Draghi juga dijadualkan bakal mengambil suntikan itu dalam masa terdekat.

Belanda, Sepanyol, Portugal dan Indonesia juga bakal menggunakan kembali vaksin itu, manakala jawatankuasa penasihat Ireland juga turut mengesyorkan penggunaannya.

Sementara itu, peningkatan kes Covid-19 memaksa Belgium dan Switzerland menangguhkan kelonggaran berhubung kawalan, pada Jumaat.

Selain itu, Perancis dijadualkan sedang bersiap sedia untuk memulakan sekatan pergerakan separa di negara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 11:40 AM