GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Rom: Itali mewajibkan guru lengkap divaksin sebelum dibenarkan kembali mengajar secara bersemuka di sekolah.

Negara itu mengikuti jejak Perancis, iaitu negara pertama di Eropah yang mewajibkan bukti imunisasi untuk mengakses pelbagai perkhidmatan dan tempat.

Itali mewajibkan penggunaan 'pas hijau' bagi orang ramai yang mahu menaiki kereta api, kapal terbang, kapal serta komuter.

Pas hijau ialah sijil digital yang membuktikan seseorang individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, diuji negatif atau pulih daripada koronavirus.

Penggunaan sijil itu juga akan diwajibkan di kedai makan dan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti riadah mulai 6 Ogos.

Walaupun terdapat keraguan dalam kalangan kerajaan memerintah dan timbul protes jalanan yang membantah, kabinet Mario Draghi tetap memperluaskan syarat pas itu kepada semua guru, penuntut universiti dan pengangkutan jarak jauh mulai 1 September.

"Pilihan kerajaan adalah untuk melabur sebanyak mungkin dalam pas hijau ini bagi mengelak sekatan pergerakan dan melindungi kebebasan," kata Menteri Kesihatan Roberto Speranza.

Guru tidak dibenarkan bekerja jika tidak memiliki pas hijau dan jika tidak hadir bekerja selama lima hari, mereka tidak akan dibayar gaji.

Itali merekodkan 27 kematian akibat Covid-19 dan jangkitan harian baharu meningkat kepada 7,230 daripada 6,596 kes.

Setakat 4 Ogos, kira-kira 65 peratus rakyat Itali menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin, di mana 54 peratus lagi daripadanya diberi vaksin sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 10:19 AM