ORANG ramai beratur di luar pusat ujian saringan Covid-19 di Paris. FOTO EPA
ORANG ramai beratur di luar pusat ujian saringan Covid-19 di Paris. FOTO EPA
BERNAMA

Paris: Tiada sebarang perintah berkurung dikenakan ketika sambutan malam Tahun Baharu, tetapi sekatan akan diperketat terhadap golongan tidak divaksin daripada memasuki tempat awam mulai pertengahan Januari, lapor Agensi Anadolu (AA).

Perdana Menteri Jean Castex mengumumkan langkah membendung peningkatan kes Covid-19 dan varian Omicron pada Isnin, sejurus selepas mengadakan mesyuarat kesihatan tergempar berikutan peningkatan kes Covid-19, sebanyak 100,000.

Langkah-langkah itu termasuk rang undang-undang pas vaksin yang sudah diluluskan Kabinet pada hari sama.

Rang undang-undang pas vaksin itu bertujuan "membebankan golongan yang tidak divaksin" dan menggantikan pas kesihatan semasa bagi membolehkan orang ramai masuk ke restoran, kafe, pusat kebudayaan, panggung wayang, muzium dan lain-lain mulai 15 Januari.

"Jika rang undang-undang diluluskan Parlimen, hanya mereka yang mengemukakan bukti vaksinasi dibenarkan masuk ke tempat-tempat yang memerlukan pas vaksin, dan keputusan ujian negatif Covid-19 tidak lagi diterima," kata Castex.

Terdapat kira-kira lima juta rakyatnya yang masih belum divaksin dan menolak suntikan Covid-19.

Sekatan lain yang akan dikuatkuasakan pada Isnin termasuk mengehadkan bilangan peserta perhimpunan besar kepada 5,000 orang di kawasan terbuka dan 2,000 orang bagi kawasan tertutup, manakala makan dan minum dalam pengangkutan awam, salun wayang, dan kemudahan sukan adalah dilarang.

Castex menyeru orang ramai untuk mendapatkan suntikan penggalak bagi mengelakkan kemasukan ke hospital.

Menteri Kesihatan Olivier Veran juga memberi amaran bahawa kes harian dijangka melebihi 250,000 pada awal Januari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 11:25 AM