POLIS wanita berkenaan.
POLIS wanita berkenaan.
Agensi

Jakarta: Akibat tidak tahan dengan tabiat suaminya yang kemaruk bermain judi secara dalam talian, seorang isteri di Indonesia, baru-baru ini, membakar lelaki itu hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Portal Kompas melaporkan, kejadian berlaku di rumah mereka dekat Kompleks Asrama Polis Polres Mojokerto, Jawa Timur, Sabtu lalu.

Difahamkan, suspek dan suaminya dikenali Briptu RDW, 28, adalah anggota polis.

Briptu sempat dikejarkan ke hospital Kota Mojokerto, namun dilaporkan meninggal dunia kerana melecur teruk.

Menurut Ketua Polis Mojokerto Kota, Daniesl S Marunduri, siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan hasil pemeriksaan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu kerana konflik rumah tangga.

"Ya, isterinya juga bertugas sebagai polis, kini penyiasat kami sedang menyelidik punca sebenar kejadian dan kronologi insiden itu secara terperinci," katanya kepada media tempatan.

Menurut Daniesl, tindakan wanita itu didorong oleh sikap suaminya yang gemar bermain judi secara dalam talian.

"Wang gajinya (mangsa) habis hingga tidak mampu menyara tiga anak mereka," katanya.

Wanita berkenaan kini ditahan polis untuk siasatan lanjut. Dia turut mengalami trauma yang teruk disebabkan perbuatannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 10:56 AM