TANGKAP layar menunjukkan lelaki yang mirip John Wick. FOTO Agensi
TANGKAP layar menunjukkan lelaki yang mirip John Wick. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang lelaki warga asing menarik perhatian pengguna media sosial di Thailand kerana wajahnya mirip watak John Wick, lakonan bintang Hollywood terkenal, Keanu Reeves.

The Straits Times melaporkan, video tular di TikTok menunjukkan lelaki itu melakukan perkara yang 'tidak sesuai' dengan karakter pembunuh upahan Hollywood itu.

Berikutan itu, media Thailand sama ada arus perdana mahupun dalam talian melaporkan video tular memaparkan lelaki terbabit, baru-baru ini.

@tuktiklife #thailand #nakhonnayok #handsome ♬ Beautiful Things - Benson Boone

Video yang dimuat naik di akaun TikTok 'Tuktiklife' itu menerima beberapa komen lucu daripada netizen.

Rata-ratanya berpendapat lelaki itu kelihatan sangat mirip dengan John Wick, manakala yang lain berseloroh yang 'pembunuh upahan 'itu mungkin mempunyai 'misi baharu' di Thailand.

Sembilan klip pendek yang dikongsi dalam akaun itu menunjukkan 'kembar John Wick' itu di tempat berbeza di Thailand.

Lelaki itu dilihat membuat kopi, menjual sotong bakar, mencuci pinggan dan melawat Wat Arun di Bangkok dengan memakai pakaian tradisional Thai.

Video itu meraih antara 106,000 hingga 4.7 juta tontonan.

John Wick menghabiskan masa persaraannya di Thailand," sindir seorang netizen.

"Dia bersara sebagai pembunuh upahan untuk menjadi penjual sepenuh masa," tulis netizen lain.

Filem Hollywood pada 2014 bertajuk 'John Wick' itu mengisahkan seorang pesara pembunuh upahan lakonan Keanu Reeves yang terpaksa kembali kepada kegiatan lamanya.

Ia selepas sekumpulan samseng Rusia mencuri keretanya dan membunuh seekor anak anjing yang dihadiahkan oleh isterinya yang kemudian meninggal dunia akibat barah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:20 AM