LIRIDON (tengah) ‘berlakon’ seolah-olah anggota perubatan bersalah ketika dia terjatuh dari pengusung. FOTO Ihsan pembaca
LIRIDON (tengah) ‘berlakon’ seolah-olah anggota perubatan bersalah ketika dia terjatuh dari pengusung. FOTO Ihsan pembaca
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan Terengganu FC (TFC) mengesahkan tempat ke pentas final Piala Malaysia dibayangi dengan telatah tonggak tengah mereka, Liridon Krasniqi yang sengaja menjatuhkan badan daripada pengusung untuk melambat-lambatkan permainan.

Insiden yang berlaku pada masa kecederaan itu juga tular di media sosial apabila pemain kelahiran Kosovo itu yang pada mulanya berada di atas pengusung untuk dibawa keluar berlakon kononnya terjatuh.

Dia yang berjaya memberikan persembahan terbaik sejak kebelakangan ini bersama Terengganu dilihat menyalahkan empat anggota perubatan yang mengangkatnya, ketika bangun selepas terjatuh.

@astroarena Kenapa ini, Liridon Krasniqi ?? #terengganufc #pialamalaysia2023 #football #MatDon ♬ original sound - Astro Arena

Tindakan 'pelik' Liridon itu menyaksikan pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin melayangkan kad kuning kepada pemain berusia 31 tahun itu yang akhirnya berjalan sendiri terhincut-hincut keluar padang.

Walaupun menerima kad kuning kedua, Liridon tetap tidak boleh beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia berikutan statusnya selaku pemain pinjaman daripada satu lagi pasukan yang turut mara ke final, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Terengganu mengesahkan tempat ke pentas final Piala Malaysia musim ini selepas membenam cabaran Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak semalam.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner menang dengan agregat 4-2 dan bakal berdepan penyandang juara, JDT pada aksi final 9 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 9:51 AM