Agensi

SEORANG lelaki berusia 37 tahun ditahan polis kerana dengan kejam membelasah anak perempuannya di sebuah pasar raya di wilayah Jiangsu, China, hanya kerana budak itu ke pasar raya berkenaan untuk membeli makanan ringan untuk adiknya.

Menurut South China Morning Post yang memetik laporan Chinaxiaokang.com, dalam kejadian yang dirakam CCTV, budak perempuan berusia dianggar lima atau enam tahun itu dilihat terus berbaring ke lantai sebaik nampak bapanya datang, seperti sudah menjangka apa yang bakal dihadapinya.

Lelaki itu menamparnya beberapa kali sebelum melakukan sesuatu amat tidak diduga, memegang sebelah kaki anaknya dan menghayun mangsa ke tong sampah sebelum sekali lagi menghayun budak itu, mencampaknya ke arah rak barang.

Dia kemudian mengambil penyapu dan memukul mangsa bertubi-tubi sebelum orang ramai yang menyedari kejadian itu masuk campur, menghalangnya daripada terus membelasah anaknya.

Sedih melihat budak perempuan itu bangun dan berjalan terhincut-hincut menahan sakit ke arah adik lelakinya yang kelihatan terkejut.

Menurut Chinaxiaokang.com, kejadian berlaku pada 9 malam di sebuah pasar raya di bandar Suqian, daerah Shuyang, minggu ini.

Polis yang tiba kemudian menahan lelaki itu, dikenali sebagai Wei.

Menurut kenyataan polis melalui Weibo (Twitter versi China), lelaki itu yang ditahan reman 14 hari, menyatakan dia menghukum anaknuya kerana membawa adik lelaki ke kedai tanpa pengetahuannya.

Wei beritahu dia adalah bapa tunggal selepas bercerai dengan ibu kanak-kanak terbabit.

Menurut Chinaxiaokang.com, budak perempuan itu membawa adiknya ke kedai untuk membelikannya makanan ringan berharga 10 yuan (RM6).

Antara komen di media sosial mengenai video itu, pengguna Reddit menulis: “Budak perempuan dan adiknya tidak menangis, mungkin kerana sudah sering dihadapi mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 8:17 PM
Petikan video budak perempuan dibelasah kejam oleh bapanya di Jiangsu, China.
Petikan video budak perempuan dibelasah kejam oleh bapanya di Jiangsu, China.