WANITA melihat ke luar tingkap bangunan yang rosak susulan pengeboman Israel di kejiranan Al-Daraj, Gaza. FOTO AFP
WANITA melihat ke luar tingkap bangunan yang rosak susulan pengeboman Israel di kejiranan Al-Daraj, Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel memerangi Hamas di Gaza pada Selasa selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan tegasnya menolak cubaan untuk mendapatkan waran tangkap antarabangsa terhadapnya atas tuduhan jenayah perang di wilayah Palestin.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyokong Netanyahu dalam mengutuknya sebagai keterlaluan, berhubung cubaan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang turut mahu mendapatkan waran terhadap pemimpin kumpulan Hamas.

Tentera Israel melaporkan pertempuran darat dan serangan udara ke atas 70 sasaran di Gaza dalam tempoh 24 jam, manakala tenteranya juga terbabit dalam pertempuran maut di wilayah utama Palestin yang lain iaitu Tebing Barat.

Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh di bandar utara Jenin, kata Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Ramallah, ketika tentera bertempur dengan lelaki bersenjata dalam operasi memerangi keganasan.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa berkata, seorang pakar bedah hospital, guru sekolah dan pelajar adalah antara yang terbunuh di Jenin, kubu kuat kumpulan pejuang Palestin.

Perang Gaza bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan tindak balas Israel menyebabkan angka kematian orang awam semakin meningkat dan memusnahkan kawasan Gaza.

"Kami kehabisan kata-kata untuk menggambarkan apa yang berlaku di Gaza," kata Edem Wosornu dari Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada mesyuarat Majlis Keselamatan pada Isnin.

"Kami menggambarkannya sebagai malapetaka, mimpi ngeri, seperti neraka di bumi. Ini semua, dan lebih teruk lagi," katanya mengenai keadaan di wilayah terkepung dengan 2.4 juta orang itu.

Wosornu berkata, seramai 1.1 juta orang berdepan tahap kelaparan yang teruk dan Gaza kekal di ambang kebuluran, manakala tiga perempat daripada penduduknya dipindahkan secara paksa, beberapa kali sehingga lima kali.

Israel pada Selasa menutup video langsung Associated Press dari Gaza dan merampas peralatannya, sebelum menarik balik langkah itu beberapa jam kemudian selepas campur tangan daripada Rumah Putih.

AP berkata, Israel menuduh agensi berita AS itu melanggar larangannya ke atas Al Jazeera, yang diarah tutup dua minggu lalu berdasarkan undang-undang baharu Israel yang mengawal penyiar asing.

Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi kemudiannya mengeluarkan arahan untuk membatalkan larangan itu dan memulangkan peralatan berkenaan kepada AP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 2:48 PM