Anggota bomba mengawal kebakaran hutan di Luzhou, wilayah Sichuan, China. - FOTO Reuters
Anggota bomba mengawal kebakaran hutan di Luzhou, wilayah Sichuan, China. - FOTO Reuters
Agensi

Shanghai: Wilayah barat daya China iaitu Chonqging dan Sichuan bergelut dengan kebakaran di saat mereka menanti penurunan suhu dan tempoh hujan yang dijangka bermula pada minggu depan.

Ahli kaji cuaca berkata, gelombang haba China, yang telah berlarutan lebih dua bulan, hampir mencecah "titik kemuncak".

Walaupun China kekal dalam "amaran merah" panas untuk hari ke-12, suhu dijangka turun di bahagian tengah China menjelang Rabu, dan di Sichuan dan Chongqing mulai 29 Ogos, Pusat Meteorologi Negara berkata di saluran Weibo rasminya.

Reuters melaporkan, pihak berkuasa juga menaikkan "amaran merah" kebakaran lewat pada Selasa, memberi amaran bahawa keadaan itu "sangat berbahaya" di kawasan hutan di tengah dan selatan Chongqing dan timur Sichuan, lapor Perkhidmatan Berita China rasmi.

Chongqing dan Sichuan, di mana taburan hujan berkurangan 80 peratus berbanding tahun biasa, menghadapi sebanyak 19 kebakaran hutan sejak 14 Ogos, menurut perkhidmatan berita kewangan Caixin, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Wilayah Jiangxi, Hunan dan Guizhou juga berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kebakaran hutan dan padang rumput, Kementerian Pengurusan Kecemasan China memberi amaran pada Selasa.

Kementerian itu berkata ia telah menghantar lebih 2,800 anggota bomba peringkat negeri ke Chongqing dan Sichuan untuk membantu mengawal keadaan.

Petani di Chongqing juga telah memasang sistem pengairan sementara untuk membantu tanaman mereka dan bekerja pada waktu malam untuk mengelakkan panas melampau, menurut imej yang disiarkan di media sosial.

Kesan kemarau panjang dijangka berlarutan hingga bulan depan, dengan penuaian musim luruh berisiko, kata pegawai kerajaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, balai cerap China pada Selasa memperbaharui amaran merah untuk suhu tinggi, amaran paling teruk dalam sistem amaran empat peringkatnya, ketika gelombang haba berterusan di banyak bahagian negara.

Pada waktu siang hari Selasa, bahagian Gansu, Shaanxi, Anhui, Jiangsu, Shanghai, Hubei, Hunan, Jiangxi, Zhejiang, Fujian, Sichuan, Chongqing, Guizhou, Guangdong dan Guangxi dijangka mengalami suhu tinggi 35 hingga 39 darjah Celsius, menurut Pusat Meteorologi Negara, lapor Xinhua.

Suhu di Shaanxi, Sichuan, Chongqing, Hunan, Jiangxi, Zhejiang dan Fujian mungkin melebihi 40 darjah Celsius, kata pusat meteorologi itu.

China mempunyai sistem amaran cuaca berkod warna empat peringkat, dengan merah mewakili amaran paling teruk, diikuti dengan oren, kuning dan biru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:07 PM