KAPAL bantuan hospital KRI dr Radjiman Wedyodiningrat-992. FOTO  Facebook
KAPAL bantuan hospital KRI dr Radjiman Wedyodiningrat-992. FOTO Facebook
BERNAMA

Jakarta: Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, pada khamis, menghantar kapal bantuan hospital KRI dr Radjiman Wedyodiningrat-992 dari Komando Trafik Laut Tentera Laut Indonesia di Jakarta, untuk membawa bantuan ke Gaza, lapor agensi berita Antara.

Kapal itu membawa bantuan, seperti makanan, pakaian, air mineral, dan ubat-ubatan, dari Jakarta ke Al Arish, sebuah bandar di Mesir yang bersempadan dengan Rafah di Gaza.

Prabowo semasa upacara pelepasan diiringi Panglima Tentera Laut Indonesia Laksamana Muhammad Ali berkata, penghantaran itu adalah bukti sokongan Indonesia terhadap penduduk Palestin.

"Ini adalah bukti sokongan kami kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mempertahankan diri dan mencapai kemerdekaan. Kami terus membantu dengan apa yang boleh kami lakukan untuk mereka," katanya.

Pada acara itu, Prabowo memeriksa kesediaan kapal dan anggota. Beliau juga bercakap dengan Komander Pasukan Petugas Mesir 2024, Commodore Bimo Aji, yang mengetuai misi kemanusiaan ke Palestin.

Prabowo mengakui misi kemanusiaan itu bukanlah satu operasi yang mudah, kerana Tentera Laut Indonesia akan belayar melalui perairan yang agak berbahaya.

"Tugas ini agak bahaya kerana mereka akan melalui kawasan perang iaitu sekitar Teluk Aden dan Laut Merah yang kini sedang bergolak dan berlaku peperangan," katanya.

Beliau kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Laksamana Ali dan agensi lain yang membantu operasi kemanusiaan ini.

"Pada masa hadapan, kami juga akan meneruskan bantuan kami ke Palestin. Kami merancang untuk menghantar pesawat untuk mengangkut bantuan, kapal, dan memberikan bantuan berterusan. Mereka sangat memerlukannya," katanya.

KRI dr Radjiman berlabuh di Jakarta sejak 30 November tahun lalu, sebagai persediaan untuk menghantar bantuan ke El Arish, Mesir, untuk rakyat Palestin di Gaza.

Kapal bantuan hospital itu pada mulanya dirancang bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan tetapi juga untuk menjalankan perkhidmatan kesihatan di atas kapal dan memberi penjagaan kepada pelarian dari Gaza.

Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan kerajaan Mesir setakat ini hanya untuk menyampaikan bantuan dan mengadakan lawatan ke El Arish, Mesir.

Kapal itu, dengan 214 anak kapal, dijadualkan berlayar selama 52 hari dari Jakarta melalui Batam ke El Arish, Mesir, dan kembali ke Indonesia. Kapal itu juga dijadualkan untuk berlabuh di pelabuhan di Jeddah, Arab Saudi.

Daripada 214 anak kapal, 40 adalah anggota pasukan khas Tentera Laut Indonesia.

Bantuan yang dibawa oleh kapal itu terdiri daripada 532 guni berisi lampin pakai buang, 600 guni mengandungi pakaian kanak-kanak serta 700 guni dan 500 kotak berisi pakaian dewasa.

Selain itu, 800 karton susu; 650 kotak biskut; 1,254 gelen dan 1,700 kotak air mineral; 4,600 kotak air mineral, 450 guni berisi selimut, 450 guni berisi jaket, dan 470 kotak mengandungi mi segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 2:46 PM