TUJUH kakitangan badan amal WCK maut dalam serangan udara Israel. FOTO AFP
TUJUH kakitangan badan amal WCK maut dalam serangan udara Israel. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

"Tidak sengaja." Itu alasan diberikan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika memberikan komen mengenai serangan udara yang mengorbankan tujuh kakitangan yang bekerja dengan badan amal Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen (WCK) minggu ini.

Bagaimanapun, Netanyahu tidak membuat permohonan maaf atas kematian itu.

Presiden Israel, Isaac Herzog menzahirkan dukacita dan membuat permohonan maaf kepada pengasas WCK, Jose Andres, atas kehilangan nyawa secara tragis itu.

WCK sebelum ini berkata, serangan disasarkan tentera Israel, pada Isnin lalu, membunuh kumpulan itu, termasuk kakitangan dari Australia, United Kingdom (UK), Palestin, Poland dan AS-Kanada.

Menurut saksi, kenderaan diserang milik WCK, organisasi bantuan yang berpangkalan di AS yang diasaskan oleh cef selebriti, Jose Andres.

Gambar yang tular di akaun media sosial Palestin menunjukkan pasport warga asing yang terbunuh dalam serangan udara itu.

WCK adalah antara pihak yang bertungkus-lumus menyalurkan makanan yang dibawa ke Gaza melalui laut dari Cyprus.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Erin Gore berkata, konvoi dua kenderaan pasukan itu yang berlogo WCK, sedang dalam perjalanan ke satu kawasan.

Katanya, walaupun menyelaraskan pergerakan dengan tentera Israel, konvoi itu tetap diserang ketika ia meninggalkan gudang Deir al-Balah, tempat mereka memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laluan maritim.

Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths mengecam Israel yang tidak menghiraukan undang-undang kemanusiaan.

Beliau turut menyifatkan kakitangan badan amal itu sebagai wira yang terbunuh ketika cuba memberi makan kepada penduduk Gaza yang kelaparan.

Berikutan tragedi itu, flotila bantuan makanan yang mahu dihantar ke Gaza diarah kembali ke Cyprus.

Sebuah kapal kargo yang membawa 240 tan metrik makanan bagi penduduk wilayah Palestin belayar kembali ke Larnaca di Cyprus berikutan serangan maut itu dan berlabuh di luar pelabuhan.

Kapal kedua, Open Arms milik NGO Sepanyol yang bekerja dengan WCK, tiba lebih awal.

Bantuan yang tidak dihantar itu adalah sebahagian daripada pakej bantuan kira-kira 340 tan yang dihantar ke Gaza dari Cyprus pada 30 Mac.

Pekerja bantuan yang terkorban di Gaza baru sahaja selesai memunggah 100 tan makanan dari kapal, juga dihantar dari Cyprus sebelum ini.

WCK, yang aktif di Gaza sejak Oktober, menghentikan operasi di wilayah itu sejak pembunuhan kakitangannya, dan mengarah flotilanya kembali ke Cyprus.

Pada Mac, WCK melancarkan koridor laut sulung bagi mengangkut bantuan ke wilayah itu dari pulau Mediterranean timur.

Cyprus menawarkan untuk menambah bantuan masuk ke Gaza melalui laut dengan proses saringan keselamatan di pulau untuk bantuan yang diawasi oleh Israel.

Open Arms, yang menyediakan kapal penyelamat untuk kedua-dua misi diaturkan oleh WCK, menyatakan kerinduan terhadap Saifeddin, Zomi, Damian, Jacob, John, Jim, dan James yang terkorban dalam kejadian itu.

Melalui hantaran di X, ia berkata untuk terus bersuara bagi lebih 32,500 orang terbunuh di Gaza, ratusan pekerja kemanusiaan, hospital yang musnah, wartawan dan semua 'kes terpencil' yang bukan kemalangan, tetapi sebahagian daripada struktur kematian dan kemusnahan.

Rentetan kejadian menyayat hati itu, apa agaknya makanan yang tinggal untuk penduduk Gaza selepas misi yang dijalankan sukarelawan seperti di WCK ini dihentikan.

Beberapa hari saja lagi Syawal menjelma. Apa agaknya yang menanti mereka?

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 7:00 AM