TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan kereta api bergoyang akibat gempa bumi berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan kereta api bergoyang akibat gempa bumi berkenaan.
Agensi

Taipei: Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menurunkan tahap gempa bumi di Taiwan daripada magnitud 7.2 kepada magnitud 6.9.

USGS melaporkan, gempa bumi bermagnitud 6.9 berlaku di luar pantai tenggara Taiwan, Ahad lalu.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami kepada pulau terpencil berhampiran Taiwan.

Dalam video dikongsi wartawan NDTV Umashankar Singh di Twitter, gempa itu menggegarkan kereta api di sebuah stesen.

"Lihat bagaimana kereta api di stesen itu mula bergegar semasa gempa bumi," katanya.

Reuters melaporkan, gempa bumi itu berlaku pada 2.44 petang pada kedalaman 10 kilometer iaitu kira-kira 50 kilometer di utara Taitung.

Kampung Yuli mengalami sekurang-kurangnya satu bangunan runtuh, menurut Agensi Berita Pusat (CNA).

Terdapat banyak gegaran di kawasan sama sejak Sabtu, dengan magnitud 6.6, namun ia lebih kuat pada Ahad.

Rakaman televisyen secara langsung dari pulau yang terjejas tidak serta-merta menunjukkan tanda-tanda jelas gelombang tinggi.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China berkata, gegaran jelas dirasai di kawasan pantai termasuk Fujian, Guangdong, Jiangsu dan Shanghai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 10:14 AM