KENDERAAN membawa tebusan yang dibebaskan Hamas dibawa ke sebuah hospital di Tel Aviv. FOTO Reuters
KENDERAAN membawa tebusan yang dibebaskan Hamas dibawa ke sebuah hospital di Tel Aviv. FOTO Reuters
Reuters

Baitulmaqdis: Seramai 16 lagi tebusan Hamas di Gaza dibebaskan dan diserahkan kepada Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari berkata, 30 rakyat Palestin membabitkan 16 individu di bawah umur dan 14 wanita dibebaskan semalam sebagai pertukaran di bawah syarat perjanjian menerusi pengantara Qatar.

Dua warga Rusia dan empat warga Thailand dibebaskan di luar perjanjian itu, manakala 10 warga Israel yang dibebaskan termasuk lima yang memegang status dua kerakyatan.

"Mereka ialah dua warga Belanda yang juga masih di bawah umur, tiga warga Jerman dan seorang warga Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam kenyataan.

Tebusan yang dibebaskan itu antara kira-kira 240 orang yang ditahan pejuang Hamas ketika serangan di selatan Israel, pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken tiba di Tel Aviv, dalam rangka lawatan ketiganya ke wilayah itu sejak serangan 7 Oktober lalu.

Beliau dijadual bertemu dengan pemimpin Israel untuk membincangkan melanjutkan gencatan senjata sementara dan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Dua pegawai Palestin memberitahu Reuters, perbincangan membabitkan kemungkinan lanjutan gencatan senjata yang dijadualkan tamat 7 pagi ini (waktu Palestin), namun belum ada persetujuan dicapai.

Agensi berita rasmi Palestin (Wafa) melaporkan, Israel agresif menceroboh Tebing Barat dengan menembak dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lapan dan 15 tahun di Jenin, semalam.

Komander pejuang Hamas juga dilaporkan terbunuh dalam pertempuran terbaharu di Tebing Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 10:10 AM