PENDUDUK Palestin berjalan melepasi bangunan yang musnah di Badar Gaza. Mereka pulang ketika gencatan senjata selama empat hari mulai Jumaat. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin berjalan melepasi bangunan yang musnah di Badar Gaza. Mereka pulang ketika gencatan senjata selama empat hari mulai Jumaat. FOTO AFP
Reuters

Gaza: Ramai rakyat Palestin yang gembira, tetapi berhati-hati ketika keluar dari pusat perlindungan sementara pada permulaan gencatan senjata di Gaza, selama empat hari, bermula Jumaat.

Mereka dalam keadaan sangat berwaspada ketika memulakan perjalanan panjang untuk pulang ke rumah.

Di bandar selatan Khan Younis yang menempatkan ribuan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, jalan sesak dengan orang ramai yang melakukan perjalanan ke utara.

Beratus-ratus orang sedang menuju ke utara, walaupun Israel menggugurkan risalah yang memberi amaran kepada mereka supaya tidak kembali ke kawasan yang disifatkan rejim sebagai masih zon perang berbahaya.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak membawa barang-barang mereka di dalam beg plastik, beg beli-belah dan beg galas.

Kelihatan juga sekeluarga duduk di belakang kenderaan yang ditimbun tinggi dengan beg dan ditarik oleh seekor keldai.

Beberapa orang mendongak ke langit seolah-olah untuk memeriksa sama ada mereka tidak dalam bahaya jika ada serangan dari pesawat perang Israel.

"Saya kini sangat gembira, saya rasa tenang. Saya akan pulang ke rumah saya, hati kami tenang, lebih-lebih lagi ada gencatan senjata rasmi empat hari, lebih baik daripada kembali tinggal di khemah.

"Saya sangat letih kerana duduk di khemah tanpa makanan atau air. Di sana (rumah sendiri) kita boleh hidup, kita minum teh, membuat roti dengan api dan ketuhar," kata Ahmad Wael sambil berjalan dengan tilam besar di kepalanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira dua pertiga daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, termasuk sebahagian besar penduduk Bandar Gaza. Seluruh bahagian utara enklaf itu musnah akibat serangan Israel.

Khan Younis, bandar utama di selatan, juga tidak terbukti selamat. Banyak bangunannya kini menjadi runtuhan, musnah akibat serangan Israel dalam kempennya sebagai tindak balas terhadap serangan maut Hamas di selatan Israel, pada 7 Oktober lalu.

"Sejujurnya, ia adalah perasaan yang baik untuk seseorang dapat pulang ke rumah selepas sekian lama, untuk melihat keluarga dan orang tersayang mereka, tetapi kami masih ragu-ragu dan takut.

"Gencatan senjata empat hari tidak mencukupi, mereka (di utara) Gaza, semoga Allah memberi mereka kesabaran. Kami bimbang mengenai mereka," kata seorang penduduk Khan Younis, Souad Abou Nasirat.

Alaa Al Moubachar, duduk di luar pusat perubatan Khan Younis bersama anak-anaknya pula berkata, kawasan kejiranan tempat dia tinggal di Bandar Gaza di utara Gaza, musnah.

"Saya melihat orang datang dan pergi, datang dan pergi, dan saya bersumpah jiwa saya menangis, hati saya menangis.

"Saya hanya mahu balik, walaupun hanya sejam untuk melihat rumah saya dan kawasan kejiranan untuk melihat Bandar Gaza dan apa yang berlaku kepadanya."

"Kami keluar tanpa membawa apa-apa, kami hanya mengambil beberapa pakaian musim panas. Kemudian, kami (ditempatkan) di sekolah, ia sejuk, berangin dan hujan dan kami tidak mempunyai apa-apa barang musim sejuk atau apa-apa.

"Kami keletihan mental. Kami beratur untuk ke bilik air, kami beratur untuk kedai roti. Hidup kami menjadi sangat sukar," katanya.

Namun, beberapa rakyat Palestin di Khan Younis berkata, mereka akan menunggu sehingga perang tamat, sebelum pulang ke rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 10:41 AM