PENDUDUK menangisi kematian ahli keluarga mereka yang terkorban dalam serangan di selatan Gaza. FOTO AFP.
PENDUDUK menangisi kematian ahli keluarga mereka yang terkorban dalam serangan di selatan Gaza. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Sejurus berakhirnya gencatan senjata pada Jumaat, penduduk di Khan Younis, selatan Gaza menerima risalah yang mengarahkan mereka supaya berpindah.

Risalah itu diedar Israel menerusi pesawat yang terbang di ruang udara daerah itu yang sudah 'parah' dibedil rejim Zionis.

Penduduk, Abu Wael Nasrallah, 80, mencemuh perintah terbaharu itu yang meminta penduduk berpindah ke kawasan lebih selatan menghampiri Rafah bersempadan Mesir.

"Ini semua mengarut," katanya yang memberitahu Reuters bahawa dia sudah kerap berpindah bermula dari utara semenanjung Gaza ketika perintah pemindahan dikeluarkan rejim itu pada awal perang meletus, yang bermula dengan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober.

Katanya, dia tidak akan 'menurut' perintah itu lagi dan mereka sekeluarga akan kekal di kawasan diduduki sementara ini kerana sudah kehilangan semuanya.

"Tiada apa lagi yang hendak ditakutkan. Kami sudah tiada rumah, hartanah kami sudah tidak ada, duit juga tiada, anak-anak kami sudah meninggal dunia, bahkan setengahnya cacat. Apa lagi yang tinggal untuk ditangisi?" katanya.

PENDUDUK memeriksa rumah di Khan Younis yang dibedil Israel. FOTO AFP.
PENDUDUK memeriksa rumah di Khan Younis yang dibedil Israel. FOTO AFP.

Ibu empat anak yang dikenali Samira pula berkata, dia melarikan diri ke Gaza dengan anaknya selepas Israel memulakan serangan bulan lalu dan kini menumpang di rumah rakan di barat Khan Younis.

Katanya, malam 1 Disember lalu paling ditakuti sejak dia sampai di kawasan berkenaan.

"Ia malam yang menakutkan," katanya, memaklumkan mereka takut dengan serangan bertubi-tubi ke atas Khan Younis dan bandar berhampiran, Deir al-Balah.

Sementara itu, seorang pemuda dikenali Yamen berkata, dia dan isteri serta enam anak mereka melarikan diri beberapa minggu lalu dan berteduh di sekolah.

"Ke mana nak pergi selepas Deir al Abalah, selepas Khan Younis? Saya sudah tidak tahu ke mana mahu membawa keluarga saya," katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 80 peratus daripada populasi di Gaza terpaksa melarikan diri dan berpindah susulan keganasan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 4:07 PM