Nahas meragut 32 nyawa dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk bas. FOTO Ihsan al-ahram online
Nahas meragut 32 nyawa dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk bas. FOTO Ihsan al-ahram online
Bernama-Dpa

Kaherah: Sekurang-kurangnya 32 maut manakala 60 lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan beberapa kenderaan termasuk sebuah bas, di Cairo-Alexandria Mesir pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman dpa, memetik media tempatan.

Siasatan mendapati kemalangan berpunca akibat kebocoran tangki minyak sebuah daripada kenderaan terbabit, lapor akhbar al-Ahram.

Sebanyak enam kenderaan termasuk sebuah bas penumpang musnah dalam kejadian itu.

Kemalangan maut itu menyaksikan beberapa kenderaan bertembung dan kemudiannya terbakar - berlaku pagi Sabtu kira-kira 100 batu ke utara ibu kota Kaherah di lebuh raya utama yang menghubungkan Kaherah ke Iskandariah, bandar kedua terbesar di Mesir.

Video daripada kejadian itu menunjukkan beberapa kenderaan terbakar dan asap hitam tebal berkepul tinggi ke udara.

Dalam video lain yang tersebar di media sosial orang ramai boleh dilihat menolak kenderaan yang rosak jauh dari tempat kejadian.

20 ambulans dihantar ke lokasi untuk membantu mereka yang cedera, kata kementerian kesihatan Mesir melalui X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Nahas berlaku dalam kabus pagi apabila bas - yang dalam perjalanan ke Kaherah melalui Jalan Gurun Cairo-Alexandria - merempuh kenderaan tidak bergerak di lebuh raya, menurut Al-Jazeera, memetik media tempatan dan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 7:28 AM