AP

Damsyik: Israel semalam melancarkan serangan udara yang membunuh sehingga lima orang yang didakwanya militan yang disokong Iran.

Serangan itu dilakukan sehari selepas rejim berkenaan melancarkan lebih 12 serangan udara terhadap bahagian Bukit Golan yang dikuasai Syria.

Menteri Pertahanan Israel Moshe Yaalon berkata, serangan itu menyebabkan satu unit di sebalik tembakan roket Khamis lalu ke atas wilayah Galilee dan zon di Bukit Golan yang dijajah Israel.

Mengulas mengenai kejadian itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, sudah menjadi dasar rejimnya untuk ‘mencederakan sesiapa yang cuba mencederakan kami.’

Stesen televisyen Syria melaporkan, lima orang awam tidak bersenjata terbunuh dalam serangan semalam sementara sumber tentera Israel mendakwa, empat atau lima terbunuh.

Kedua-dua pihak memberi gambaran berbeza mengenai mangsa yang terkorban.

Stesen televisyen Syria mengenal pasti mangsa sebagai orang awam tidak bersenjata sementara sumber tentera Israel mendakwa mereka anggota kumpulan militan Jihad Islam Palestin.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, mangsa ialah pasukan pertahanan prokerajaan Syria.

Israel sebelum ini berkata, ia menyerang 14 kedudukan tentera Syria di bahagian Bukit Golan yang dikuasai Syria sebagai tindak balas terhadap serangan roket.

Serangan merentas sempadan sebelum ini biasanya dikatakan berpunca daripada pertempuran di Syria dan serangan kumpulan Islam yang menguasai kawasan berhampiran sempadan Bukit Golan yang dijajah Israel.

Pemerhati berkata, serangan semalam berpotensi untuk mengubah peperangan di rantau itu.

Menurut pelbagai sumber, sejak Januari 2013, Israel melancarkan beberapa serangan menyasarkan tentera kerajaan Syria dan juga Hizbullah, kumpulan Syiah di Lubnan.

Hizbullah yang membantu rejim Syria dalam menghadapi kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad menjadi sasaran serangan Israel Januari lalu, menyebabkan enam pejuangnya dan seorang jeneral Iran terbunuh di bahagian Bukit Golan yang dikuasai Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:03 AM