SISA bahan letupan zaman perang Kemboja yang ditemui di kawasan sekolah menengah di wilayah Kratie. FOTO CMAC/ AFP.
SISA bahan letupan zaman perang Kemboja yang ditemui di kawasan sekolah menengah di wilayah Kratie. FOTO CMAC/ AFP.
AFP

Phnom Penh: Ribuan serpihan bahan letupan yang tidak meletup, tinggalan perang saudara Kemboja, ditemui di sebuah sekolah di timur laut negara itu, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC), Heng Ratana berkata, penggali tanah menemui lebih 2,000 bahan letupan termasuk kira-kira 1,000 bom tangan M79 di kawasan sekolah menengah di wilayah Kratie, sepanjang tiga hari penggalian.

Katanya, sisa bahan letupan itu ditemui selepas kawasan itu dibersihkan untuk dijadikan taman.

"Sekolah itu kini ditutup untuk sementara waktu," kata Heng Ratana.

Gambar turut menunjukkan bahan letupan yang digali, berkarat dan tersusun sebaris di tapak penggalian.

"Pelajar sekolah terbabit sangat bernasib baik. Bahan letupan itu senang meletup jika orang menggali tanah dan terkena ia," katanya kepada AFP.

Tapak itu adalah stesen ketenteraan semasa perang dan tambah Heng Ratana, operasi pembersihan yang sedang dijalankan mungkin menemukan lebih banyak lagi sisa bahan letupan.

Perang saudara Kemboja berlarutan sehingga 1975 dengan Amerika Syarikat,dan Vietnam Utara serta Selatan menyokong pelbagai pihak.

Kesan pengeboman AS dan ladang periuk api yang ditinggalkan sudah lama dirasai secara tragis, dengan kira-kira 20,000 rakyat Kemboja maut sejak empat dekad lalu akibat terpijak periuk api atau bom.

Kerja pembersihan diteruskan sehingga hari ini, dengan kerajaan berikrar untuk membersihkan semua lombong dan bahan letupan zaman perang yang tidak meletup menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 2:58 PM