TIKUS gergasi Afrika dilatih selama sembilan bulan untuk diberi kemahiran mengesan periuk api.
TIKUS gergasi Afrika dilatih selama sembilan bulan untuk diberi kemahiran mengesan periuk api.
Agensi

Ia bukanlah tikus biasa apabila dilatih secara khas selama sembilan bulan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Apopo di selatan tanah tinggi selatan Tanzania untuk mengesan periuk api di Afrika.

Siapa sangka haiwan sekecil itu diberi peranan sebagai ‘wira’ dan membawa tugas berat untuk memastikan kawasan terbabit bebas daripada segala ancaman periuk api.

Hasilnya, tikus gergasi Afrika itu sudah membantu mengesan periuk api membabitkan kawasan seluas berjuta meter persegi di Angola dan Mozambique sebelum dihantar ke Kemboja untuk mengesan bahan letupan yang ditinggalkan sejak tiga dekad lalu sepanjang tempoh konflik negara berkenaan, lapor The Guardian.

APOPO melatih tikus gergasi Afrika di Tanzania.
APOPO melatih tikus gergasi Afrika di Tanzania.

Menurut Pengasas Apopo, Bart Weetjens, idea menggunakan tikus untuk mengesan periuk api tercetus selepas dia membaca sebuah artikel kira-kira 20 tahun lalu mengenai bagaimana mamalia kecil itu mengecam bau bahan letupan.

“Saya cuba melalui pengalaman dihadapi petani di Afrika yang kebanyakannya terjejas dengan masalah ini.

Selain itu, saya melihat apakah sumber yang dimiliki oleh mereka untuk mengatasi masalah yang mengancam nyawa ini tanpa perlu menggunakan teknologi import yang mahal,” katanya.

Tikus gergasi Afrika yang dikenali sebagai ‘cricetomys gambianus’ bukan saja bijak tetapi mempunyai kebolehan untuk menghidu seperti anjing dan kelebihan badannya yang ringan iaitu sekitar satu kilogram menyebabkan ia boleh digunakan untuk melalui kawasan ditanam periuk api aktif dengan lebih selamat.

Walaupun kos untuk melatih setiap ekor menelan belanja kira-kira AS$6,900 (RM29,017), ia masih dianggap berbaloi berbanding menggunakan tenaga manusia.

BADAN tikus dipasang abah-abah dan tali untuk mengesan periuk api.
BADAN tikus dipasang abah-abah dan tali untuk mengesan periuk api.

Menurut Apopo, tikus yang dilatih mereka boleh melakukan pengesanan di kawasan seluas 200 meter persegi dalam tempoh 20 minit saja.

Manusia pula akan mengambil masa selama lima hari untuk mengesan periuk api menggunakan alat pengesan besi di kawasan sama.

Usaha itu yang dilakukan di Mozam-bique berjaya memusnahkan lebih 13,000 periuk api di kawasan tanah seluas lebih 11 juta meter persegi.

Pengurus latihan Apopo, Abdullah Mchomvu adalah di antara kakitangan terawal yang membawa tikus itu ke lapangan untuk mengesan periuk api di wilayah Gaza, Mozambique, kira-kira 12 tahun lalu.

“Pada hari pertama, saya sangat takut. Terdapat banyak rangka manusia berpakaian baju seragam tentera. Saya risau jika tikus itu kais terlalu kuat, ia mungkin menyebabkan periuk api meletup.

“Bagaimanapun, semua objek yang dikesan ialah periuk api. Ia sekali gus mengurangkan rasa takut. Saya kini tidak ada masalah untuk masuk ke kawasan periuk api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 9:00 AM