JAMBATAN landasan kereta api yang dalam pembinaan, runtuh di Mizoram, India. FOTO AFP
JAMBATAN landasan kereta api yang dalam pembinaan, runtuh di Mizoram, India. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Sekurang-kurangnya 22 buruh terbunuh, manakala empat lagi dikhuatiri maut selepas jambatan landasan kereta api yang mereka bina merentasi jurang di timur laut di negeri terpencil India, Mizoram, runtuh semalam.

Insiden itu berlaku di Sairang, sebuah bandar kira-kira 20 kilometer di barat laut ibu negeri itu iaitu Aizawl, di kawasan berhampiran sempadan Myanmar.

Rakaman video yang dikongsi Ketua Menteri Mizoram, Zoramthanga menunjukkan, rangka logam tumbang ke dalam lembah.

"Sangat sedih dan terkesan dengan tragedi ini," tulisnya di X, platform yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Zoramthanga berkata, beliau bersyukur kerana orang ramai keluar beramai-ramai untuk membantu operasi menyelamat.

Kereta Api Sempadan Timur Laut mengesahkan, seramai 40 buruh bekerja di tapak itu.

Seorang pekerja agensi itu berkata, 22 mayat ditemukan dalam runtuhan itu dengan empat orang lagi masih hilang.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri Narendra Modi berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan.

"Operasi menyelamat sedang dijalankan dan semua bantuan yang mungkin diberikan kepada mereka yang terjejas.

"Kerajaan akan membayar kira-kira AS$2,400 (kira-kira RM11,148) kepada waris mangsa yang terbunuh.

"Perdana Menteri yang sedih dengan kemalangan itu mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang," kata pejabat itu.

Sementara itu, Menteri Kereta Api, Ashwini Vaishnaw turut mengumumkan pampasan berasingan bagi mereka yang terbunuh atau cedera dalam kemalangan itu.

Insiden seperti bangunan dan pembinaan runtuh di India adalah perkara biasa semasa musim tengkujuh bermula Jun hingga September.

Sekurang-kurangnya 20 pekerja maut dihempap ​​di barat India, bulan ini, apabila sebuah kren tumbang di atas lebuh raya yang sedang dalam pembinaan di luar ibu kota kewangan Mumbai.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 137 orang terbunuh apabila jambatan pejalan kaki runtuh di negeri Gujerat, menyebabkan ratusan orang terjatuh ke dalam sungai atau berpaut pada serpihan sambil menjerit meminta tolong dalam kegelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 9:52 AM