SEORANG lelaki membawa anak kambing yang diselamatkannya dalam kejadian tanah runtuh. - Agensi
SEORANG lelaki membawa anak kambing yang diselamatkannya dalam kejadian tanah runtuh. - Agensi
GAMBAR dari udara menunjukkan banjir menenggelamkan sebuah kampung di Khagrachari, Bangladesh. - Reuters
GAMBAR dari udara menunjukkan banjir menenggelamkan sebuah kampung di Khagrachari, Bangladesh. - Reuters
Reuters

Dhaka: Angka korban tanah runtuh dan banjir di Bangladesh serta timur laut India meningkat kepada sekurang-kurangnya 153 orang selepas hujan lebat mencetuskan beberapa siri tanah runtuh dan banjir sejak dua hari lalu, kata pegawai semalam.

Bangladesh yang padat dengan penduduk itu sering dilanda banjir dan tanah runtuh setiap kali musim hujan. Kejadian terbaru itu berlaku hanya beberapa minggu selepas ribut tropika Mora menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan memusnahkan puluhan ribu kediaman di tenggara negara itu.

Tanah runtuh melanda tiga daerah berbukit di tenggara Bangladesh awal pagi kelmarin, menyebabkan 100 orang terbunuh di Rangamati, 36 di Chittagong dan enam di Bandarban, kata ketua jabatan pengurusan bencana, Reaz Ahmed.

Menurut Reaz, ramai yang masih hilang dan jumlah kematian mungkin bertambah. Jumlah mangsa yang terkorban itu termasuk empat askar yang terperangkap dalam tanah runtuh selepas mereka menyertai operasi menyelamat di Rangamati.

Setiausaha Kementerian Bencana Bangladesh, Shah Kamal berkata, tiada hujan semalam dan operasi menyelamat dilakukan sepenuhnya.

“Beberapa kawasan di daerah itu masih terputus hubungan tetapi orang ramai dipindahkan menggunakan bot tentera laut,” katanya kepada Reuters menerusi telefon dari Rangamati.

Sementara itu, di India, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh di Mizoram dan Assam, yang bersempadan dengan Bangladesh, apabila hujan lebat membanjiri bandar-bandar utama.

Pihak berkuasa Mizoram menemui sembilan mayat, manakala tujuh orang dilaporkan masih hilang, kata menteri pembangunan dan pembasmian kemiskinan negeri itu.

Jurucakap Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam satu kenyataan berkata, negara itu bersedia memberi bantuan kepada Bangladesh dalam usaha mencari dan menyelamat jika diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 10:32 AM