MONYET ganas yang berjaya ditangkap selepas menyerang 20 manusia di tengah India. FOTO Agensi.
MONYET ganas yang berjaya ditangkap selepas menyerang 20 manusia di tengah India. FOTO Agensi.
Agensi

New Delhi: Selepas dua minggu melakukan serangan ganas ke atas 20 orang, monyet paling dikehendaki, akhirnya ditangkap di Rajgarh, Madhya Pradesh, tengah India, Rabu lalu.

Sebelum ini, pegawai dan penduduk menawarkan ganjaran £200 (RM1,189) kepada sesiapa yang berjaya menangkap haiwan ganas itu, berikutan berang dengan serangannya termasuk ke atas lapan mangsa kanak-kanak.

Monyet itu dikatakan sering duduk di atas bumbung rumah penduduk dan bergayut di tingkap, bagi mencari mangsa.

Ramai mangsa yang mengalami luka teruk dan terpaksa dijahit akibat serangan berkenaan.

NDTV melaporkan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sempat merakam tindakan ganas haiwan itu menerkam seorang lelaki tua sebelum mengheretnya ke tanah.

Serangan beberapa minit itu menyebabkan mangsa mengalami luka yang serius di paha.

Pegawai tempatan Vinod Sahu berkata, pihak berkuasa tempatan tiada rancangan untuk menangkap haiwan itu.

"Kami terpaksa menghubungi pegawai daerah dan dengan bantuannya, dapat menghubungi pasukan penyelamat haiwan daripada jabatan perhutanan Ujjain.

"Kakitangan majlis perbandaran dan penduduk setempat membantu mereka tetapi ia tetap mengambil masa empat jam untuk menangkap monyet itu.

"Kami ada menawarkan hadiah ganjaran untuk menangkap monyet terbabit dan akan memberikannya kepada pasukan penyelamat haiwan," katanya.

Pegawai perhutanan, Gaurav Gupta berkata, pasukan tempatan di Rajgarh sudah cuba menangkap haiwan itu selama dua minggu, namun tidak berjaya.

"Kami akhirnya memanggil pasukan khas di beberapa daerah untuk bantuan dan sebaik pasukan Ujjain berkelapangan, mereka segera ke Rajgarh dan dalam masa empat jam, monyet itu tertangkap," katanya.

Pasukan itu menggunakan dron bagi mengesan monyet berkenaan, sebelum melepaskan tembakan ubat penenang, dan menangkapnya.

Gupta berkata, haiwan terbabit berkemungkinan besar akan dilepaskan di hutan tebal supaya ia tidak lagi mengganggu manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:11 PM