FOTO fail menunjukkan pelajar perempuan berjalan melepasi MASJID Pusat Pattani pada 2016. Selatan Thailand sehingga kini masih diselubungi dengan insiden keganasan dari masa ke masa. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan pelajar perempuan berjalan melepasi MASJID Pusat Pattani pada 2016. Selatan Thailand sehingga kini masih diselubungi dengan insiden keganasan dari masa ke masa. FOTO AFP
BERNAMA

Pattani: Agensi-agensi keselamatan Thailand menyiasat gerakan pelajar yang didakwa memperjuangkan referendum awam untuk menubuhkan 'Negara Pattani' di wilayah selatan Thailand.

Pemerintah Komander Santi Sakultanak dari Markas Tentera ke-4 menyatakan Jabatan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc) Wilayah 4, yang mengetuai siasatan itu, meningkatkan usaha dalam mengumpul maklumat dan bukti.

Beliau berkata, agensi keselamatan memantau aktiviti mereka.

"Panggilan untuk referendum awam bagi menubuhkan negara Islam merdeka - 'Negara Pattani', adalah bertentangan dengan perlembagaan dan membahayakan keselamatan negara," katanya kepada Bernama.

Pada 7 Jun, "Pelajar Bangsa," yang mewakili pelajar universiti dari wilayah-wilayah selatan, dilaporkan menganjurkan referendum olok-olok semasa satu forum untuk meninjau pendapat mengenai sama ada "rakyat Pattani" harus mempunyai hak penentuan diri dan mengadakan referendum yang diperuntukkan secara sah mengenai kemerdekaan.

Forum berjudul "Penentuan Diri dan Kedamaian Pattani" diadakan di Universiti Pangeran Songkhla di Pattani.

Media tempatan melaporkan bahawa semasa acara itu, peserta diberikan kertas undi yang mengajukan soalan mengenai hak individu di wilayah sempadan selatan untuk mengundi mengenai penubuhan "Negara Patani", atau pemisahan Yala, Pattani, Narathiwat dan empat daerah di Songkhla (Thepa, Na Thawi, Chana, dan Saba Yoi) dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 7:31 AM