FOTO hiasan
FOTO hiasan
Agensi

Beijing: Tindakan seorang lelaki di Wenzhou, China menyembunyikan kemenangan loteri sebanyak 10 juta yuan (kira-kira RM6.4 juta) daripada isterinya mengundang padah apabila diperintahkan mahkamah untuk membayar pampasan kepada wanita itu yang memfailkan tuntutan saman dan cerai.

Oddity Central melaporkan, Zhou memenangi loteri itu pada 2021 dan menerima hasil kemenangan bersih sebanyak 8.43 juta yuan (kira-kira RM5.4 juta) selepas membayar cukai mandatori.

Daripada berkongsi berita gembira itu dengan isterinya, dia dilaporkan terus berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Ketika wang kemenangan dimasukkan ke akaun banknya, Zhou memindahkan 2 juta yuan (kira-kira RM1.3 juta) kepada kakaknya dan 700,000 yuan lagi kepada bekas isterinya untuk membantunya membeli sebuah pangsapuri.

Dia tidak menyebut langsung mengenai kemenangan loteri kepada isterinya selama dua tahun.

Tidak pasti bagaimana isteri Zhou tahu mengenai rahsia itu tetapi wanita itu memfailkan cerai dan saman untuk potongan hadiah loterinya.

Memandangkan kedua-duanya berkahwin pada masa kemenangan, wang itu dianggap sebagai harta bersama pasangan itu.

Isteri Zhou menuntut dua pertiga daripada 2.7 juta yuan (kira-kira RM1.7 juta) yang diberikan kepada kakak dan bekas isteri tanpa persetujuannya.

Pada 1 Februari, Mahkamah Wenzhou bersetuju dengan permohonan wanita itu untuk mendapat 60 peratus daripada kemenangan yang disembunyikan dan tiada pihak memohon rayuan terhadap keputusan itu.

Kisah itu tular di laman sosial China dengan majoritinya menyalahkan Zhou kerana menyembunyikan isterinya tentang harta bersama mereka sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 3:14 PM