GUNUNG Merapi pada 23 Mei lalu. FOTO AFP
GUNUNG Merapi pada 23 Mei lalu. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Gunung Merapi di Indonesia, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, meletus pada Selasa, memuntahkan lahar lebih dua kilometer (km) dari kawahnya.

Gambar dramatik lava yang mencurah dari kawah gunung berapi itu dimuat naik oleh Balai Cerap Gunung Merapi yang dikendalikan kerajaan.

Menurut Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG) iaitu agensi kerajaan yang memantau gunung berapi, puluhan gegaran kecil susulan letusan Merapi direkodkan pada Selasa.

"Aktiviti Merapi sedikit meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini... tetapi peningkatan seperti ini sering berlaku di Merapi.

"Cuaca cerah bermakna orang ramai boleh melihat letusan yang mengalir dari gunung berapi itu," kata Ketua BPPTKG, Agus Budi Santoso.

Gunung Merapi, yang terletak hanya 28 kilometer di utara ibu kota wilayah Jogjakarta, dipantau rapi oleh agensi itu.

Pihak berkuasa melaksanakan zon sekatan tujuh kilometer pada tahun lalu berikutan penilaian risiko untuk kampung di sekitarnya.

Letusan besar terakhir gunung berapi itu pada 2010 meragut nyawa lebih 300 individu dan memaksa pemindahan kira-kira 280,000 penduduk.

Ia adalah letusan paling kuat di Merapi, sejak letusan pada 1930 yang menyebabkan kira-kira 1,300 individu terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 10:42 AM