TANGKAP layar video tular kejadian di Pelabuhan Manokwari, Papua Barat.
TANGKAP layar video tular kejadian di Pelabuhan Manokwari, Papua Barat.
Agensi

Jakarta: Berang kerana suaminya keluar berlayar, yang disangka mahu pergi berhibur, menyebabkan seorang wanita mengamuk serta mengugut mahu mencampak bayi mereka ke laut, Sabtu lalu.

Tindakan suri rumah berusia 19 tahun itu menyebabkan Kapal Napan Wayname yang dinaiki suaminya terpaksa berlabuh semula di Pelabuhan Manokwari, Papua Barat.

Video kejadian itu turut tular di media sosial.

Suami wanita itu yang bekerja sebagai buruh pelabuhan dalam perjalanan ke Pelabuhan Wasior Kabupaten Teluk Wondama dan sudah pun belayar kira-kira 300 meter sebelum berpatah balik.

"Biasalah masalah keluarga, 'the power of emak-emak'. Kapal sudah berlayar terpaksa berlabuh semula kerana tidak diizinkan isterinya.

"Isteri mengamuk di pelabuhan sebaik kapal melepaskan sauh dan sudah belayar sejauh kira-kira 300 meter. Isterinya mengugut mahu membuang anak mereka ke laut di tepi pelabuhan itu," kata seorang penumpang dikenali Nur Ramli.

Nur berkata, pihak berkuasa yang melihat tindakan wanita terbabit kemudian meminta supaya kapal berlabuh semula di pelabuhan.

Ketua Polis Kawasan Pelabuhan Manokwari, Iptu Boby Renmaur mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, suami wanita itu bekerja sebagai buruh pelabuhan yang menaiki Kapal Napan Wayname dari Manokwari ke Wasior untuk mengawal penghantaran motosikal.

"Suaminya bekerja sebagai buruh pelabuhan. Dia hendak mengawal beberapa unit motosikal ke Wasior tetapi isterinya menyangka dia mahu keluar berseronok," katanya.

Susulan kejadian itu, polis yang berada di pelabuhan meminta pihak kapal kembali ke pelabuhan dan suaminya diturunkan dengan selamat.

Selepas itu, lelaki terbabit bersama isterinya pulang ke rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 2:57 PM