Kenichi Horie. FOTO AFP
Kenichi Horie. FOTO AFP
Agensi

Kobe: Pengembara lautan Jepun, Kenichi Horie menjadi lelaki tertua di dunia yang melakukan pelayaran solo tanpa henti sepanjang 8,500 kilometer merentasi Pasifik dengan kapal layar.

Horie, 83, tiba di Selat Kii, yang memisahkan wilayah Wakayama dan Tokushima di barat Jepun menaiki Suntory Mermaid III, kapal layar sepanjang 6 meter, seberat satu tan, jam 2.39 pagi semalam, selepas berlayar dari San Francisco, California, pada 27 Mac.

"Saya sangat gembira kerana dapat pulang ke rumah tanpa masalah besar.

"Saya berterima kasih atas sokongan yang saya terima daripada anda semua," katanya ketika dihubungi melalui telefon.

JapanToday melaporkan, kapal layar dinaiki Horie yang melalui Hawaii pada April, menggunakan panel solar untuk keperluan elektrik di atas kapal.

Warga emas itu menggunakan telefon satelit untuk bercakap dengan kakitangannya dan individu lain di darat.

Pelayaran itu bagi menjejaki laluan sama pernah dilakukannya 60 tahun lalu apabila dia menjadi pelayar pertama menyeberangi Pasifik bersendirian tanpa singgah di mana-mana pelabuhan.

Kemudian ketika berusia 23 tahun, Horie belayar ke bandar Pantai Barat dari Nishinomiya, Hyogo dalam tempoh kira-kira 90 hari, tanpa membawa pasport.

Perjalanan itu menjadikannya terkenal dan dia menulis buku berdasarkan pengalaman itu sehingga laris di pasaran.

Pelayar itu tidak pernah serik untuk belayar di lautan, termasuk melakukan perjalanan solo tanpa henti di seluruh dunia pada awal 70-an.

Pada 2008, dia belayar menggunakan bot dikuasakan tenaga ombak sejauh kira-kira 7,000 km dari Hawaii.

Pengembara itu juga berkata, dia mahu terus mencabar dirinya (belayar) sehingga mencapai usia 100 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:50 AM