KAPAL persiaran Genting Dream yang berlabuh di Perlabuhan Klang, hari ini.
KAPAL persiaran Genting Dream yang berlabuh di Perlabuhan Klang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


PELABUHAN Klang menerima kunjungan 2,658 penumpang dan krew kapal persiaran Genting Dream dari Singapura yang berlabuh di pelabuhan berkenaan jam 11.50 pagi tadi.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) Eng Yong Hian Wah berkata, laluan asal kapal persiaran itu adalah dari Singapura-Port Dickson-Singapura sebelum ditukarkan ke Pelabuhan Klang.

“Kapal persiaran berkenaan akan berlayar bagi tempoh tiga hari dua malam sebelum dijangka berlepas ke Singapura jam 11 malam nanti.

“Seramai 957 penumpang terdiri daripada 15 negara iaitu Brunei, Kanada, Republik Czech, United Kingdom, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Pakistan, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, India dan Vietnam. Jumlah individu warga India adalah paling ramai iaitu 587 penumpang.

“Bagi krew kapal persiaran itu pula adalah seramai 1,701 anak kapal terdiri dari 32 negara dengan 276 daripada mereka adalah warga China.

“ Bagaimanapun, tiada antara mereka (warga China) yang berada di negara berkenaan kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hian Wah berkata, kapal persiaran itu tidak pernah berlayar ke China memandangkan ia hanya membabitkan laluan dari Singapura-Selat Melaka-Pulau Pinang-Phuket (Thailand).

“Semua penumpang dan krew kapal persiaran itu akan melalui pemeriksaan kesihatan oleh pihak berkuasa Singapura sebelum dan selepas pelayaran mereka.

“Malah, mereka juga akan melalui pemeriksaan kesihatan berkala daripada pihak kesihatan kapal persiaran berkenaan ketika berlayar,” katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam, tiada laporan membabitkan mana-mana individu dalam kapal persiaran itu yang mengalami deman atau simptom koronavirus baharu atau Covid-19.

“Sebaik berlabuh di Pelabuhan Klang, petugas daripada Jabatan Kesihatan akan melakukan pemeriksaan.

“Sekiranya ada mana-mana individu yang didapati merekodkan suhu badan yang tinggi akan dikuarintin sama ada dalam kapal persiaran itu atau pusat kuarantin untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Katanya, dijangka empat hingga lima bas akan membawa penumpang kapal persiaran itu untuk bersiar-siar di Kuala Lumpur, manakala selebihnya mengikut jadual masing-masing.

“Kapal persiaran itu dijangka akan meninggalkan Pelabuhan Klang untuk meneruskan perjalanan ke Singapura kira-kira jam 11 malam nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:29 PM