Agensi

Denpasar: Seekor ikan paus sepanjang 17 meter mati selepas terdampar di pantai di Bali, kata seorang pegawai pemuliharaan pada Ahad.

Ia adalah ikan paus ketiga yang terdampar di pulau Indonesia itu dalam tempoh seminggu.

Ikan paus jantan itu ditemui di Pantai Yeh Leh di daerah Jembrana, Bali barat, pada petang Sabtu.

"Kami sedang berusaha menarik bangkai itu ke pantai untuk memudahkan ujian nekropsi dan kami akan tanam bangkai itu selepas ujian selesai," kata pegawai marin dan perikanan tempatan, Permana Yudiarso kepada AFP.

Rabu lalu, ikan paus sepanjang 18 meter terdampar di daerah Klungkung di pantai timur Bali, manakala sebelum itu, paus Byrde seberat lebih dua tan dengan panjang sekurang-kurangnya 11 meter terdampar di Pantai Tabanan pada 1 April.

Yudiarso berkata, berdasarkan penilaian awal, ikan paus yang ditemui pada Sabtu mati akibat sakit, "sama seperti ikan paus yang ditemui terdampar beberapa hari lalu".

Beliau menambah ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu bagi ujian nekropsi selesai, sementara pakar forensik menemui sedikit perdarahan dalam paru-paru ikan paus itu dan usus besarnya dipenuhi cecair.

Polis telah mengepung lokasi itu bagi menghalang orang ramai daripada mencuri daging atau anggota badan mamalia tersebut.

Pada 2018, seekor paus sperma ditemui mati di Indonesia dengan lebih 100 cawan plastik dan 25 beg plastik di dalam perutnya, menimbulkan kebimbangan mengenai masalah sampah laut yang besar di kepulauan Asia Tenggara.

Indonesia adalah penyumbang kedua terbesar dunia kepada serpihan marin selepas China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 11:16 AM
PETUGAS melakukan pemeriksaan ke atas ikan paus sperma yang mati terdampar di Pantai Yeh Leh di Jembrana, Bali, semalam. FOTO AFP.
PETUGAS melakukan pemeriksaan ke atas ikan paus sperma yang mati terdampar di Pantai Yeh Leh di Jembrana, Bali, semalam. FOTO AFP.