GUIXI sebuah bandar mempunyai kira-kira 640,000 penduduk melancarkan aplikasi menggunakan data penduduk bujang untuk membina platform mencari jodoh. FOTO  China Daily/ Reuters
GUIXI sebuah bandar mempunyai kira-kira 640,000 penduduk melancarkan aplikasi menggunakan data penduduk bujang untuk membina platform mencari jodoh. FOTO China Daily/ Reuters
Agensi

Beijing: Bagi orang bujang, keletihan dating (janji temu kekasih) adalah fenomena universal, lapor The Guardian.

Sebuah bandar di Jiangxi, sebuah wilayah di timur China, menganggap perkhidmatan mencari jodoh ditaja kerajaan menghasilkan penyelesaian untuk mereka yang putus asa atau bosan dengan cinta.

Guixi, sebuah bandar mempunyai kira-kira 640,000 penduduk melancarkan aplikasi menggunakan data penduduk bujang untuk membina platform mencari jodoh.

Akhbar kerajaan, China Youth Daily melaporkan aplikasi dikenali sebagai Palm Guixi adalah sebahagian inisiatif meningkatkan kadar perkahwinan yang menurun, sejak sedekad lalu.

Pada 2021, terdapat 5.4 perkahwinan bagi setiap 1,000 orang, berbanding enam untuk jumlah sama di Amerika Syarikat.

Di tempat lain di Jiangxi, kerajaan tempatan menganjurkan acara untuk menarik orang ramai bersosial.

Di bandar Gao'an, kira-kira 100 orang bujang muda menghadiri acara di taman Ruizhou Fuya di mana mereka boleh berpakaian tradisional, bermain permainan dan mengenali antara satu sama lain.

Tujuan utama acara itu diadakan sebagai kempen menentang 'nilai hadiah kepada pengantin' yang tinggi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan tidak menggalakkan amalan tradisional yang mana bakal pengantin lelaki menawarkan wang tunai kepada keluarga pengantin perempuan sebelum berkahwin.

Peraturan negara melarang pemberian wang atau hadiah berkaitan perkahwinan, tetapi ia amalan tradisi terutama di kawasan luar bandar.

Perkhidmatan mencari jodoh tajaan kerajaan itu menerima pelbagai reaksi ramai di media sosial Weibo, yang mengaitkannya dengan desakan kerajaan untuk meningkatkan kadar kelahiran China yang semakin menurun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:32 PM