PETIKAN gambar rakaman CCTV menunjukkan lelaki yang merompak tiga rumah sedang makan pisang yang dicurinya. - Agensi
PETIKAN gambar rakaman CCTV menunjukkan lelaki yang merompak tiga rumah sedang makan pisang yang dicurinya. - Agensi
Agensi

SHANGHAI: Seorang pencuri yang memecah masuk tiga rumah di beberapa perkampungan di pinggir Shanghai ditahan selepas polis mengesan gambarnya memakan pisang yang dicuri dari salah sebuah rumah.

Menurut polis, lelaki itu merompak barangan bernilai lebih 10,000 yuan (AS$1,450) dari tiga rumah berkenaan awal bulan ini.

Isnin lalu, portal berita Xinmin.cn, melaporkan polis menghadapi kesukaran mengesan pencuri terbabit kerana perkampungan di Heqing itu tidak banyak CCTV dipasang.

Bagaimanapun, seorang mangsa memberitahu pencuri terbabit turut mencuri pisang dalam rumahnya dan maklumat itu menjadi petunjuk penting kepada polis.

Menurut laporan South China Morning Post, seorang pegawai penyiasat teringat pernah ternampak gambar CCTV menunjukkan seorang lelaki sedang makan pisang ketika menunggang skuter elektrik di kawasan jenayah.

Mereka kemudian meneliti rakaman CCTV dan mendapati lelaki itu turut berada di kawasan dua lagi rumah yang dipecah masuk.

Polis berjaya mengesan lelaki itu dan menahannya dalam sebuah kafe siber di Beicai pada 8 September lalu dan lelaki itu mengaku memecah masuk rumah terbabit.

Menurut lelaki itu dia melakukan jenayah itu selepas menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan dan mengaku mengambil pisang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 5:30 AM