AKSI Zhang membalas hantaran Medvedev.
AKSI Zhang membalas hantaran Medvedev.
AFP

Halle Westfalen: Zhang Zhizhen, 27, menjadi pemain lelaki China pertama mara ke suku akhir kejohanan Halle selepas menang tiga set ke atas pemain ranking kelima dunia Daniil Medvedev dari Rusia, semalam.

Pemain nombor 42 dunia itu menang 6-3, 2-6, 7-6 (7/5) selepas memenangi empat mata terakhir ketika penentuan tie-break.

"Pertandingan ini antara yang sangat sukar. Kali terakhir saya kalah dalam tie-break set ketiga (di Stuttgart minggu lepas). Dan hari ini sekali lagi, tie-break set ketiga.

"Saya fikir, 'ok, ini masa yang sesuai untuk membalas dendam'," kata Zhang.

Zhang seterusnya akan berdepan pemain Amerika, Christopher Eubanks, yang menyingkirkan juara bertahan Alexander Bublik 7-6 (7/5), 4-6, 6-3.

Sementara itu, pemain nombor empat dunia dan naib juara Terbuka Perancis, Alexander Zverev, mengalahkan Lorenzo Sonego dari Itali 6-4, 7-6 (7/5).

"Saya sangat gembira dengan prestasi saya dan gembira berada di suku akhir," kata Zverev.

Zverev akan berdepan pemain Perancis berusia 20 tahun, Arthur Fils, di suku akhir selepas dia mudah mengalahkan Dominik Koepfer 6-3, 6-4 manakala pemain Jerman, Jan-Lennard Struff, mengatasi cabaran Luciano Darderi 6-7 (2/7), 7-5, 7-6 (12/10).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 11:29 AM