Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Agensi

Singapura: Seorang ibu tergamak membantu kekasih gelapnya memasang kamera tersembunyi untuk merakam anak perempuannya mandi.

Wanita berusia 48 tahun yang menjalin hubungan sulit dengan rakan kongsi perniagaannya dijatuhi hukuman penjara 10 minggu, semalam atas tuduhan memasang alat merakam dengan niat mendorong voyeurism (mengintip untuk kepentingan seksual) buat kekasihnya.

Lelaki yang berusia 50 tahun itu turut dijatuhi hukuman penjara sama atas pertuduhan bersubahat dengan wanita berkenaan.

Mahkamah dimaklumkan wanita itu berkenalan dengan lelaki terbabit pada 2014 ketika bekerja sebagai pembantu jualan di kedai runcit lelaki itu.

Pada 2016, wanita terbabit berhenti kerja tetapi tetap berhubung dengan lelaki itu yang sudah berkahwin dan mereka menjalin hubungan terlarang.

Pada 2020, pasangan itu memulakan perniagaan dalam talian dengan menjual kipas siling dan lampu, sebelum pada Mei 2021, lelaki itu membeli alat merakam video (camcorder) di Shopee, berniat untuk merekod video anak kekasihnya mandi.

Semua maklumat mengenai anak perempuan tertuduh termasuk umur, tidak didedahkan mahkamah.

Lelaki itu menyerahkan peranti berkenaan kepada kekasihnya untuk dipasang tanpa pengetahuan mangsa.

Wanita itu memasang alat terbabit di dapur yang menghadap bilik mandi, sebelum anaknya sedar dan memeriksa peranti berkenaan selepas ibunya beredar.

Tiada rakaman lain dalam alat itu melainkan video ibunya sedang melakukan pemasangan. Perakam video itu kemudian dibuang.

Terdahulu, pendakwa raya memohon hukuman penjara 10 minggu kepada tertuduh lelaki dan lapan minggu kepada wanita itu mengambil kira jenayah itu tidak boleh dibenarkan atas apa hubungan sekalipun.

Namun peguam mewakili tertuduh lelaki meminta hukuman penjara lebih rendah dengan memaklumkan lelaki itu menyesal dan sudah meminta maaf dengan mangsa serta keluarganya.

Kata peguam itu anak guamnya telah "digoda dan tergoda" dengan wanita berkenaan yang "memperkenalkan wajah anak perempuannya."

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara bagi tempoh sama kepada kedua-dua tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 12:35 PM