JUSTIN Mohn. FOTO Youtube/ Reuters
JUSTIN Mohn. FOTO Youtube/ Reuters
Reuters

Harrisburg, Amerika Syarikat: Sebuah mahkamah di Pennsylvania memerintahkan seorang lelaki ditahan tanpa jaminan atas dakwaan membunuh bapanya, sebelum menunjukkan kepala dipenggal itu dalam video YouTube.

Justin Mohn dari Perbandaran Middletown didakwa dengan pembunuhan tahap pertama, penderaan mayat dan memiliki instrumen jenayah di Mahkamah Bucks County, semalam.

Hakim memerintahkan, lelaki berusia 32 tahun itu kekal dalam tahanan.

Pendakwa raya berkata, ketika kejadian, polis ke rumah keluarga tertuduh di Perbandaran Middletown selepas menerima panggilan daripada ibu Mohn.

Katanya, mereka menemukan bapa Mohn, Michael, 68, dalam keadaan dipenggal kepalanya di dalam bilik mandi.

Polis turut mendapati darah berlumuran di tempat kejadian, manakala pisau dan parang turut didapati di dalam tab mandi.

Ibu Mohn memberitahu polis, dia tidak melihat anaknya sejak 2 petang, malah kereta suaminya, tiada.

Dalam pada itu, polis dalam afidavit mengesahkan, selepas pembunuhan itu, Mohn menyiarkan video selama 14 minit di YouTube bertajuk Mohn's Militia - Call to Arms for American Patriots.

"Semasa video itu, Mohn menunjukkan kepala bapanya kepada penonton, sebanyak dua kali dan memanggil dengan namanya.

"Tertuduh juga berkata, dia (bapanya) kini berada di neraka untuk selama-lamanya," kata polis dalam dokumen itu.

Tertuduh juga berkata, bapanya yang bekerja dengan kerajaan persekutuan seorang pengkhianat, mengkritik pentadbiran Presiden Joe Biden dan menyifatkan dirinya sebagai pemimpin militan, lapor NBC News.

Polis kemudian menahan Mohn di Fort Indiantown Gap, sebuah pusat latihan Pengawal Kebangsaan di Lebanon County, kira-kira 177 kilometer dari rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 11:57 AM