GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fitri Nizam


TINDAKAN biadap pekerja kontrak warga Bangladesh yang mencabul rakan serumahnya, wanita tempatan, menerima padah apabila dipenjara selama 10 bulan.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu sebaik tertuduh, Ghaihuddun, 40, mengaku salah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Warga Bangladesh itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang wanita tempatan berusia 23 tahun di rumah dekat Kampung Tiong, Kuala Terengganu, 4.30 petang, 11 November lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa yang menyewa bilik di rumah berkenaan masuk ke dalam bilik air untuk mandi.

Bagaimanapun selepas selesai mandi, mangsa terkejut apabila tertuduh berdiri di hadapan bilik air dan bertindak memeluknya.

Tertuduh turut mencium mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka sebelum mangsa dapat melepaskan diri.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditahan.

Pendakwaan kes dikendali Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Ratna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 5:21 PM