WAJAH asal Todoroki sebelum dan selepas menjalani pembedahan plastik.
WAJAH asal Todoroki sebelum dan selepas menjalani pembedahan plastik.
Agensi

Tokyo: Seorang wanita di Jepun obses dengan kecantikan, malah sanggup membelanjakan lebih 13 juta yen (kira-kira RM437,304) untuk menjalani pembedahan plastik sejak sedekad lalu.

Portal Dunya News melaporkan, Todoroki, 30, menerima jolokan 'Idola Pembedahan Plastik' (Todoroki-chan) menjadi antara segelintir vlogger dan YouTuber yang bukan saja menumpukan pada topik yang masih dianggap tabu di negara asalnya, tetapi juga menunjukkan sisi gelap menjalani prosedur berkenaan.

Dia menjalani puluhan pembedahan plastik sejak berumur 18 tahun dan sentiasa terbuka berkongsi hasilnya.

Todoroki, tidak menyembunyikan fakta bahawa salah satu prosedur dijalankan menyebabkan bibir atasnya kebas, tetapi dia tidak menyesal.

Dia mula terfikir untuk pembedahan plastik sejak di sekolah menengah rendah, apabila rakan sekelas mula mengusik penampilannya, memanggilnya hodoh dan mentertawakannya.

Wanita itu menyangka tanggapan berkenaan dilemparkan kerana dia seorang yang pemalu dan naif, sebelum menyedari dirinya lebih hodoh daripada rakan sebaya.

"Saya sangat hodoh berbanding orang lain," katanya selepas mengambil beberapa gambar dengan rakan sekerja.

Menurut Todoroki, walaupun ramai menjalani pembedahan plastik untuk menjadikan diri mereka menarik, namun dia melakukannya untuk kelihatan 'normal'.

Selepas meyakinkan ibu bapa untuk menandatangani surat kebenaran, dia menjalani prosedur pembedahan plastik pertamanya, pada usia 18 tahun.

Dia mahu melakukan pembedahan kelopak mata dan keluarganya pada awalnya menentang namun, akhirnya sedar itu yang anak mereka inginkan.

Todoroki atau dikenali Todoroki-chan, kini salah satu pempengaruh pembedahan plastik paling popular di Jepun, dengan 406,000 pengikut di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 1:13 PM