Kanak-kanak melihat serpihan hujan batu di tepi jalan di Umm al-Haiman, Kuwait City. - FOTO AFP
Kanak-kanak melihat serpihan hujan batu di tepi jalan di Umm al-Haiman, Kuwait City. - FOTO AFP
AFP

Kuwait City: Kuwait, salah satu negara paling panas di bumi ini, dilanda ribut hujan batu yang jarang berlaku, sekali gus menggembirakan kanak-kanak dan ibu bapa mereka, dengan imej putih musim sejuk dikongsi secara meluas di media sosial semalam.

"Kami tidak pernah melihat begitu banyak hujan batu semasa musim sejuk dalam tempoh 15 tahun," kata bekas pengarah jabatan meteorologi Kuwait, Muhammad Karam, kepada AFP.

Gambar dan video jalan di kawasan selatan yang sebahagiannya diselubungi hujan batu dan ais tersebar dalam talian untuk meraikan fenomena yang jarang berlaku itu.

Kanak-kanak memakai baju hujan ketika mereka mengambil ketulan ais di daerah Umm al-Haiman, kira-kira 50 kilometer (km) ke selatan Kuwait City.

Jabatan meteorologi Kuwait menyatakan hujan sejak Selasa lalu mencecah sehingga 63 milimeter tetapi cuaca semakin cerah.

Karam berkata beliau menjangkakan fenomena itu akan berulang kerana perubahan iklim mengganggu corak biasa cuaca.

Negara Teluk yang kaya dengan minyak itu mengalami musim panas yang terik, dan saintis meramalkan ia akan menjadi tempat yang tidak boleh didiami lagi pada masa depan kerana perubahan iklim.

Pada 2016, suhu musim panas memuncak sehingga 54 darjah Celsius.

Sebahagian Kuwait boleh mencapai suhu 4.5 darjah Celsius lebih panas dari 2071 hingga 2100 berbanding purata cuaca negara berkenaan, pihak berkuasa alam sekitar memberi amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 4:20 PM