TINJAUAN cuaca panas di Petaling Jaya, Selangor. FOTO Amirul Johari
TINJAUAN cuaca panas di Petaling Jaya, Selangor. FOTO Amirul Johari
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca panas ketika ini berlanjutan hingga Mei ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca panas dijangka mula reda menjelang Jun nanti.

Beliau berkata, ketika ini, fenomena La Nina sederhana sedang berlaku dan suhu di seluruh negara masih dalam keadaan normal.

"Namun, suhu adalah berbeza-beza mengikut tempat dan bentuk muka bumi.

"Stesen Meteorologi Chuping merekodkan suhu tertinggi pada 9 April 1998 dengan bacaan 40.1 darjah Celsius di bawah pengaruh fenomena El Nino kuat.

"Suhu maksimum yang direkod di Chuping sejak seminggu lalu ialah sekitar 34 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, suhu maksimum di Lembah Klang adalah sedikit lebih tinggi iaitu di antara 35 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius.

Beliau menjelaskan tiada suhu melampau yang dicatat dalam tempoh seminggu ini.

Berdasarkan rekod, katanya, didapati suhu maksimum sedikit lebih tinggi di kawasan Lembah Klang dan pedalaman Pahang.

Ditanya adakah kemungkinan berlaku kemarau, katanya, buat masa ini tiada.

"Status cuaca panas terkini boleh semak di https://www.met.gov.my/iklim/kemarau/statusgelombanghaba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 11:22 AM