KAKITANGAN program angkasa lepas China memerhatikan platform pelancaran Shenzhou-16 di  Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China. FOTO AFP
KAKITANGAN program angkasa lepas China memerhatikan platform pelancaran Shenzhou-16 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China. FOTO AFP
AFP

Jiuquan, China: China akan menghantar angkasawan orang awam pertamanya ke angkasa lepas sebagai sebahagian daripada misi kru ke stesen angkasa Tiangong, pada Selasa, ketika ia meneruskan rancangan bercita-cita tinggi untuk pendaratan di bulan menjelang 2030.

Negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu melabur berbilion-bilion dolar dalam program angkasa lepas kendalian tenteranya, cuba mengejar Amerika Syarikat dan Rusia selepas bertahun-tahun lewat menyamai pencapaian mereka.

Sebelum kini, semua angkasawan China yang dihantar ke angkasa lepas adalah sebahagian daripada Tentera Pembebasan Rakyat.

Gui Haichao ialah seorang profesor di Universiti Beihang Beijing, dan akan menguruskan eksperimen saintifik di stesen itu semasa misi berkenaan, kata jurucakap China Manned Space Agency (CMSA) Lin Xiqiang kepada pemberita pada Isnin.

Beliau akan "menjalankan eksperimen dalam orbit berskala besar... dalam kajian fenomena kuantum baharu, sistem frekuensi masa ruang berketepatan tinggi, pengesahan relativiti umum, dan asal-usul kehidupan," kata Lin.

"Saya sentiasa mempunyai impian ini," kata Gui pada sidang akhbar pada Isnin.

Universitinya berkata, Gui berasal daripada "keluarga biasa" di wilayah barat daya Yunnan.

Dia "pertama kali merasai tarikan aeroangkasa" mendengar berita mengenai manusia pertama China di angkasa lepas, Yang Liwei, di radio kampus pada 2003, kata institusi itu dalam catatan di media sosial.

Penyertaan Gui adalah "penting", penganalisis bebas Chen Lan memberitahu AFP, memandangkan misi sebelum ini hanya membawa angkasawan yang dilatih sebagai juruterbang yang bertanggungjawab untuk lebih banyak tugas teknikal dan bukan saintis pakar.

"Maknanya, mulai misi ini, China akan membuka pintu ruang angkasa untuk rakyat biasa," katanya.

Gui bersedia untuk berlepas di atas kapal angkasa Shenzhou-16 dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada hari Selasa, jam 9.31 pagi, kata CMSA.

Komander misi itu ialah Jing Haipeng - yang dalam misi keempatnya ke angkasa lepas, menurut media kerajaan - dan anak kapal ketiga ialah jurutera, Zhu Yangzhu.

Jing berkata, dia tidak pulang ke rumah selama hampir empat tahun kerana bimbang perjalanan pulang itu boleh mengganggu latihannya.

Ketiga-tiga angkasawan itu akan berada di Tiangong selama kira-kira lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 8:58 AM