KAPAL angkasa Shenzhou-12 akan dilancar dengan roket Long March-2F Y12. FOTO CNSA
KAPAL angkasa Shenzhou-12 akan dilancar dengan roket Long March-2F Y12. FOTO CNSA
BERNAMA

Jiuquan: China akan melancarkan kapal angkasa pembawa angkasawan Shenzhou-12 tepat 9.22 pagi Khamis.

Penolong Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA), Ji Qiming dalam satu sidang akhbar pada Rabu memaklumkan, misi itu akan dijalankan oleh angkasawan Nie Haisheng, Liu Boming dan Tang Hongbo.

Menurut Ji, kapal angkasa itu akan dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan yang terletak di barat laut China dengan roket pembawa Long March-2F Y12.

Misi angkasa lepas Shenzhou-12 kali ini turut disifatkan sebagai projek penerbangan angkasa lepas yang membawa angkasawan pertama semasa pembinaan Stesen Angkasa Lepas China bertujuan menguji teknologi penting berkenaan pembinaan dan pengoperasian stesen angkasa lepas.

Ia termasuk penginapan angkasawan di angkasa lepas dalam jangka masa panjang, sistem sokongan hidup dan kitar semula, bekalan bahan keperluan di angkasa lepas, aktiviti dan operasi di luar kabin kapal angkasa lepas serta usaha penyelenggaraan dalam orbit.

Tiga angkasawan terbabit dijadual menjalankan misi di modul teras stesen angkasa Tianhe selama tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:03 PM