Aayushi Chaudhary. FOTO Agensi
Aayushi Chaudhary. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Menggemparkan apabila polis di India menemukan mayat wanita berusia 22 tahun di dalam beg pakaian berhampiran Lebuhraya Yamuna di Mathura Uttar Pradesh minggu lalu disyaki dibunuh oleh bapanya, kata polis Uttar Pradesh.

Portal NDTV melaporkan, ibu bapa kepada mangsa dikenali Aayushi Chaudhary ditangkap kerana disyaki membunuh, menurut Penguasa Polis Mathura.

Nitesh Yadav didakwa menembak mati anak perempuannya kerana berang selepas mangsa keluar rumah beberapa hari tanpa memberitahunya.

Yadav juga berang kerana Chaudhary berkahwin dengan seorang lelaki daripada kasta yang berbeza dan sering berada di luar sehingga larut malam, kata sumber.

Difahamkan, Chaudhary sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda Aplikasi Komputer, di sini.

Selepas menemui beg pakaian itu, polis mula mengesan telefon, memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), carian di laman sosial dan memasang poster di sekitar bandar untuk mengenal pasti wanita itu.

Tiada maklumat diterima bagaimanapun maklumat diterima daripada seseorang yang tidak dikenali pada pagi Ahad dan kemudian ibu dan abang mangsa mengenal pastinya melalui gambar.

Bapa yang tinggal di Badarpur di selatan Delhi, ditahan selepas polis menyoalnya ketika dia pergi untuk mengenal pasti mayat.

Menurut polis, Chaudhary berumah tangga dengan lelaki bernama Chhatrapal dari kasta berbeza tanpa memberitahu keluarganya.

Ibu bapanya marah dengan apa yang mereka percaya sebagai sikap membangkang dan degilnya.

Selepas menembak Aayushi dengan pistol berlesen miliknya, Yadav didakwa meletakkan mayat mangsa di dalam beg pakaian dan membuangnya di Mathura.

Mayat Chaudhary ditemui berbalut plastik dalam beg besar berwarna merah berhampiran Lebuhraya Yamuna di Mathura pada Jumaat lalu.

Terdapat darah berlumuran di muka dan kepala serta terdapat kesan kecederaan di seluruh badan, kata polis.

Beg pakaian itu dikesan oleh seorang buruh yang kemudian menghubungi polis.

Keluarga itu berasal dari Baluni di Gorakhpur di Uttar Pradesh dan berhijrah ke ibu negara selepas Yadav mendapat pekerjaan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 1:47 PM