Orang awam melintasi papan iklan di Dataran Valiasr di Tehran. - FOTO EPA
Orang awam melintasi papan iklan di Dataran Valiasr di Tehran. - FOTO EPA
AFP

Tehran: Iran mendakwa sudah membangunkan peluru berpandu hipersonik yang berupaya menembusi semua sistem pertahanan, kata komander unit aeroangkasanya, Jeneral Amirali Hajizadeh.

Peluru berpandu hipersonik, seperti peluru berpandu balistik tradisional yang boleh menghantar senjata nuklear, boleh terbang lebih daripada lima kali ganda kelajuan bunyi.

"Peluru berpandu balistik hipersonik ini dibangunkan untuk menentang perisai pertahanan udara.

"Ia akan dapat melanggar semua sistem pertahanan antipeluru berpandu," kata Hajizadeh, dipetik oleh agensi berita Iran Fars.

Katanya, dia percaya ia akan mengambil masa beberapa dekad sebelum sistem yang mampu memintasnya dapat dibangunkan.

"Peluru berpandu ini, yang menyasarkan sistem antipeluru berpandu musuh, mewakili lonjakan generasi yang hebat dalam bidang peluru berpandu," katanya.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Iran mengaku menghantar dron ke Rusia, tetapi menafikan berbuat demikian sejak Rusia menyerang Ukraine.

The Washington Post melaporkan pada 16 Oktober bahawa Iran sedang bersedia untuk menghantar peluru berpandu ke Rusia, tetapi Tehran menolak laporan itu sebagai "benar-benar palsu".

Tidak seperti peluru berpandu balistik, peluru berpandu hipersonik terbang pada trajektori rendah di atmosfera, berpotensi mencapai sasaran dengan lebih cepat.

Ujian Korea Utara terhadap peluru berpandu hipersonik tahun lalu mencetuskan kebimbangan mengenai perlumbaan untuk memperoleh teknologi itu.

Rusia kini mengetuai perlumbaan untuk membangunkan peluru berpandu, diikuti oleh China dan Amerika Syarikat.

Peluru berpandu hipersonik boleh dikendalikan, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan bertahan.

Walaupun negara seperti Amerika Syarikat telah membangunkan sistem yang direka bentuk untuk mempertahankan diri daripada peluru berpandu krus dan balistik, keupayaan untuk menjejak dan menumpaskan peluru berpandu hipersonik masih menjadi persoalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 5:11 PM