LAPORAN stesen penyiaran Korea Selatan mengenai pelancaran peluru berpandu berkenaan. FOTO EPA
LAPORAN stesen penyiaran Korea Selatan mengenai pelancaran peluru berpandu berkenaan. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Korea Utara didakwa melancarkan peluru berpandu balistik yang disyaki di luar pantai timurnya, hari ini, kata pihak berkuasa di Jepun.

Korea Selatan pula melaporkan Korea Utara melancarkan peluru berpandu ke lokasi yang tidak ditentukan.

Pelancaran itu menjadi yang pertama dalam tahun baharu bagi negara itu, dan berlaku beberapa hari selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk terus membangunkan tentera bagi menangani situasi antarabangsa 'yang tidak stabil'.

Pengawal pantai Jepun, yang kali pertama melaporkan pelancaran itu, berkata ia mungkin peluru berpandu balistik, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Tentera Korea Selatan berkata, Korea Utara didakwa menembak peluru berpandu balistik ke arah laut timur Semenanjung Korea, pada 8.10 pagi.

"Risikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang menganalisis dengan teliti untuk mendapatkan butiran lanjut," kata Ketua Staf Bersama di Seoul dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida menyifatkan ia sebagai "kemungkinan pelancaran peluru berpandu balistik".

"Adalah amat dikesali Korea Utara melancarkan peluru berpandu secara berterusan sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita.

Kishida berkata, kerajaan Jepun sedang menganalisis butiran termasuk berapa banyak peluru berpandu yang mungkin dilancarkan.

Pengawal pantai Jepun sebelum ini berkata, ia melihat apa yang kelihatan seperti peluru berpandu balistik yang ditembak dari Korea Utara, memberi amaran kepada kapal di kawasan itu supaya tidak mendekati sebarang objek yang mencurigakan.

Pelancaran itu susulan ucapan Kim minggu lalu di mana beliau berkata, Korea Utara akan terus meningkatkan keupayaan ketenteraannya.

Pada tahun lalu, Korea Utara berkata, mereka berjaya menguji jenis baharu peluru berpandu balistik yang dilancarkan kapal selam, peluru berpandu jelajah jarak jauh, senjata yang dilancarkan kereta api, dan apa yang disifatkannya sebagai kepala peledak hipersonik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 1:46 PM