PUTIN (kiri) berjabat tangan dengan Alexander Lukashenko ketika pertemuan Saint Petersburg, Rusia. FOTO AFP
PUTIN (kiri) berjabat tangan dengan Alexander Lukashenko ketika pertemuan Saint Petersburg, Rusia. FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia akan menghantar peluru berpandu yang mampu membawa kepala peledak nuklear, ke Belarus, dalam beberapa bulan akan datang.

Ia dimaklumkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu, ketika menerima kunjungan pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko.

"Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan memindahkan sistem peluru berpandu taktikal Iskander-M Belarus, yang boleh menggunakan peluru berpandu balistik atau pelayaran, dalam versi konvensional dan nuklear ," kata Putin dalam siaran di televisyen Rusia pada awal pertemuannya dengan Lukashenko di Saint Petersburg.

Beliau juga menawarkan kerja menaik taraf pesawat pejuang Belarus untuk menjadikan negara itu berupaya membawa senjata nuklear, di tengah ketegangan yang memuncak dengan Barat susulan pencerobohan negara itu di Ukraine.

"Banyak (pesawat) Su-25 sedang berkhidmat dengan tentera Belarus. Ia boleh dinaik taraf dengan cara yang sesuai.

"Pemodenan ini harus dilakukan di kilang pesawat di Rusia dan latihan kakitangan harus dimulakan.

"Kami akan bersetuju dengan cara untuk mencapai hasrat ini," kata Putin.

Putin sudah beberapa kali merujuk kepada senjata nuklear sejak negaranya melancarkan 'operasi ketenteraan' di Ukraine pada 24 Februari dan ia dilihat sebagai amaran kepada Barat untuk tidak campur tangan.

Dalam kenyataannya pada bulan lalu, Lukashenko memaklumkan negaranya sudah membeli peluru berpandu berkeupayaan nuklear Iskander dan sistem antipeluru berpandu antipesawat S-400 dari Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 11:36 AM