LEE Ji-han. FOTO Soompi
LEE Ji-han. FOTO Soompi
Agensi

Seoul: Penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Lee Ji-han, 24, antara salah seorang yang terkorban dalam insiden rempuhan membabitkan pengunjung yang menghadiri pesta Halloween, Sabtu lalu.

Dua agensi yang mewakili Lee, 935 Entertainment dan 9Ato Entertainment, mengesahkan berita malang itu menerusi Twitter semalam.

Kenyataan rasmi turut menyatakan pengebumiannya akan berlangsung di dewan pengebumian Hospital Myongji di Goyang, Gyeonggi.

Lee menjadi terkenal selepas bertanding dalam musim kedua pertandingan nyanyian popular Korea, Produce 101, di mana 101 calon K-Pop bersaing untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan lelaki baharu yang mempunyai 11 ahli.

Pada 2019, dia membintangi drama web Today Was Another Namhyun Day bersama Choi Woo-jung.

Tragedi itu yang dianggap sebagai bencana terburuk dalam beberapa tahun, mendorong Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol mengisytiharkan tempoh berkabung pada Ahad yang akan berterusan sehingga 5 November.

Lee dijadualkan muncul dalam siri MBC akan datang, Season Of Kkokdu yang akan menyaksikan dia berlakon bersama pelakon Kim Jung-hyun dan Im Soo-hyang.

Dalam siri itu, Lee memainkan watak bekas teman lelaki pelakon utama wanita.

Khabarnya pelakon itu baru sahaja selesai menjalani penggambaran siri itu pada September lalu.

Sekurang-kurangnya 154 orang terbunuh dalam insiden rempuhan itu.

Menurut saksi, insiden itu berlaku pada malam Sabtu di kawasan berhampiran Hotel Hamilton di pusat hiburan malam yang terkenal di Itaewon.

Puluhan ribu pengunjung melawat kawasan berkenaan sempena pesta Halloween.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 9:31 AM