LEE Jung-ha peroleh banyak pengalaman dan cabaran dengan watak Kim Bong-seok.
LEE Jung-ha peroleh banyak pengalaman dan cabaran dengan watak Kim Bong-seok.
Syafil Syazwan Jefri


PADA usia masih muda, Lee Jung-ha mula meraih perhatian peminat drama bersiri Korea Selatan.

Kini, Lee yang berusia 25 tahun 'terbang' lebih tinggi menerusi watak Kim Bong-seok dalam drama bersiri terbaru, Moving yang juga diadaptasikan dari webtoon karya Kang Full.

Lee yang sebelum ini popular menerusi karya seperti Rookie Historian Goo Hae-ryung, Run On dan Nevertheless berkongsi pengalamannya bagaimana dia jatuh hati dan terbabit dalam siri arahan Park Inje ini.

"Saya jatuh hati dengan webtoon asal apabila ia pertama kali diterbitkan. Ceritanya memberi erti kepada saya. Apabila saya mendengar bahawa webtoon itu akan diadaptasi menjadi siri tv, saya tahu saya perlu mencabar diri saya dan cuba menjadi sebahagian dari cerita itu," katanya.

Ditanya mengenai watak Bong-seok yang memiliki kuasa untuk terbang atau terapung, Lee menggambarkannya sebagai seseorang yang sentiasa membawa kebahagiaan kepada orang sekelilingnya.

"Bong-seok adalah seorang yang menyebarkan kebahagiaan di sekelilingnya. Dia orang baik yang sentiasa memberi dorongan kepada orang lain, tetapi pada masa yang sama apabila berkaitan dengan orang atau perkara yang ingin dilindunginya, dia tidak mudah goyah dan bekerja keras untuk mencapai matlamatnya.

"Dia mempunyai keupayaan untuk terbang dan indera yang hebat. Walaupun pada awalnya dia menghadapi kesukaran untuk mengawal kemampuannya, anda akan melihat perkembangan watak ini dengan setiap episod," katanya.

Dalam siri ini juga, Lee turut menimba pengalaman baharu apabila perlu menaikkan berat badannya untuk disesuaikan dengan watak Bong-seok.

PELAKON yang membintangi Moving.
PELAKON yang membintangi Moving.

"Saya suka makan. Jadi, pada mulanya saya menganggap penambahan berat badan akan lebih mudah daripada menurunkannya. Namun, selepas memulakannya, saya sedar bahawa menambah berat badan lebih sukar daripada yang saya bayangkan.

"Apabila saya berjaya menambah berat badan, ia umpama satu pencapaian yang hebat dan membantu saya berasa benar-benar terhubung dengan watak itu," katanya.

Moving juga menyaksikan Lee bergandingan dengan pelakon berpengalaman, Han Hyo-joo yang membawa watak sebagai ibunya, Mihyun.

"Mihyun seorang yang tidak mementingkan diri sendiri dan penyayang. Kadang-kadang Bong-seok berasa kecewa dan terganggu dengannya, tetapi pada akhirnya dia tahu segala yang dilakukannya adalah untuk kebaikan Bong-seok.

"Saya teruja bekerjasama dengan Hyo-joo. Dia sentiasa menjaga saya dan membimbing saya melalui proses produksi dan berkongsi banyak nasihat sepanjang proses itu," katanya.

Menurutnya, dia juga pada awalnya berasa kekok, namun perasaan itu hilang dan berubah kepada selesa kerana sikap Hyo-joo yang sangat membantu.

"Pada mulanya, saya tak pasti bagaimana untuk berhadapan dengannya kerana dia seorang pelakon yang berpengalaman.

"Namun, dia mengambil inisiatif dengan mencadangkan kami memanggil satu sama lain dengan panggilan 'ibu' dan 'anak' untuk memastikan bahawa saya berasa selesa bersamanya. Malah sekarang, saya lebih selesa memanggilnya 'ibu' daripada nama beliau.

"Untuk babak emosi, walaupun kamera hanya tertumpu kepada saya, dia akan terus berlakon bersama saya untuk membantu saya tetap dalam watak, malah turut mengalirkan air mata.

"Saya sangat terharu dan ia benar-benar membantu saya merasai sepenuhnya adegan itu. Setiap kali saya menghadapi kesukaran dengan babak tertentu, dia juga akan berkongsi nasihat dengan saya," katanya.

Lee juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih dan meluahkan rasa penghargaan buat pengarah, Pak Inje yang banyak membantunya sepanjang proses penggambaran.

"Saya sangat bergantung kepadanya di lokasi penggambaran dan dia membimbing saya dengan sangat baik. Saya sangat berterima kasih untuk itu. Dia sentiasa memberi dorongan kepada saya untuk bersantai dan menjadi diri sendiri, memberitahu saya bahawa dia melihat saya sebagai Bong-seok.

"Salah satu perbincangan kami adalah mengenai nada bicara dan 'postur' Bong-seok. Bong-seok tidak memaksakan dirinya ke atas sesiapa pun. Dia hanya berkongsi tenaga positifnya dengan orang di sekeliling melalui cara dia bercakap.

"Saya memberi tumpuan yang besar kepada cara penyampaian dan bagaimana posturnya mencerminkan keinginannya bagi menyimpan kemampuannya untuk terbang sebagai rahsia," katanya.

Lee berkata, Moving padat dengan aksi hebat kerana kuasa luar biasa setiap watak.

"Ia akan menjadi pengalaman yang mendebarkan. Jadi, saya harap anda terus menyaksikan dan menikmati semua urutan aksi luar biasa itu," katanya.

Selain Lee dan Hyojoo, Moving yang mula ditayangkan sejak 9 Ogos lalu di saluran Disney+Hotstar turut menampilkan lakonan Ryu Seung-ryong, Zo In-sung, Cha Tae-hyun, Ryoo Seung-bum, Kim Sung-

kyun dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 6:11 AM