GAMBAR yang diambil dari udara pada 20 Oktober 2022 menunjukkan sisa runtuhan kubah Masjid Besar Pusat Islam Jakarta. FOTO AFP
GAMBAR yang diambil dari udara pada 20 Oktober 2022 menunjukkan sisa runtuhan kubah Masjid Besar Pusat Islam Jakarta. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Kubah besar sebuah masjid di sini runtuh susulan kebakaran tanpa membabitkan kemalangan jiwa.

Rakaman dramatik yang diperoleh AFP menunjukkan asap tebal menyelubungi kubah, manakala api memusnahkan bahagian bawah Masjid Besar Pusat Islam Jakarta semalam.

Beberapa pekerja pembinaan sedang memeriksa kebakaran dari dekat sebelum kubah runtuh, menyebabkan mereka melarikan diri.

Polis berkata, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Masjid besar yang terletak di dalam kompleks pusat Islam itu sedang menjalani pengubahsuaian.

"Kami sudah membincangkan kemungkinan meneruskan pengubahsuaian... yang paling penting kami boleh menggunakannya (masjid) semula tidak lama lagi," kata Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono kepada Metro TV, hari ini.

Punca kebakaran yang mengambil masa berjam-jam untuk dipadamkan sedang disiasat, tetapi polis berkata mereka mengesyaki ia bermula daripada percikan api apabila pekerja cuba memotong membran kalis air untuk kubah itu.

Menurut polis, pihaknya menyiasat empat pekerja binaan berhubung kebakaran.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 12:44 PM